New Zealand lapor kes baru selepas 25 hari bebas COVID-19

New Zealand lapor kes baru selepas 25 hari bebas COVID-19

WELLINGTON,. New Zealand kembali merekodkan dua kes COVID-19 hari ini, selepas lebih tiga minggu tanpa jangkitan baharu virus terbabit.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, kedua-kedua pesakit baru berkenaan tiba dari United Kingdom (UK) baru-baru ini.

“Dua kes baharu COVID-19 hari ini berkait dengan rentas perjalanan dari UK berikutan pembukaan sempadan negara New Zealand dan kedua-dua kes itu ada kaitannya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Sempadan New Zealand hanya dibuka untuk rakyat serta keluarga mereka untuk kembali ke negara itu selain beberapa pengecualian bagi urusan perniagaan dan belas kasihan, dengan semua perlu menjalani kuarantin wajib dua minggu.

Negara Pasifik Selatan dengan sekitar lima juta penduduk, yang hanya merekodkan 22 kematian, minggu lalu mengumumkan sudah berjaya menghentikan penularan virus dalam kalangan masyarakat.

Justeru, sekatan perjalanan domestik termasuk penjarakan sosial dan had perjumpaan awam ditarik balik, sementara kawalan ketat sempadan negaranya dikekalkan.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern, semalam berkata beliau tidak mengisytiharkan negaranya bebas COVID-19 kerana menjangkakan New Zealand mungkin mempunyai kes jangkitan baharu di masa akan datang. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )