Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur
KUALA LUMPUR,. Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini berikutan jangkaan permintaan yang tinggi pada April, tetapi bimbang mengenai simpanan stok yang lebih tinggi mengehadkan kenaikan, kata peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pedagang menjangka eksport yang lebih tinggi pada bulan ini berikutan pembeli menambah inventori mereka untuk mengelak menghadapi stok yang rendah semasa sekatan pergerakan berikutan COVID-19.
Penyelidik kargo, Intertek Testing Services (ITS) dan Amspec Malaysia, dalam data eksport mereka untuk tempoh 1-20 April berbanding 1-20 Mac, menganggarkan eksport meningkat, masing-masing sebanyak 7.4 peratus dan 4.5 peratus.
Menurut ITS, eksport produk minyak sawit Malaysia dalam tempoh tersebut meningkat kepada 691,910 tan metrik daripada 644,421 tan metrik manakala Amspec menunjukkan kenaikan daripada 684,162 tan metrik berbanding 654,440 tan metrik.
Bagaimanapun, Ng berkata kebimbangan mengenai simpanan stok yang lebih tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi pasaran.
“Kami mengesan paras sokongan pada RM2,200 setan metrik dan paras halangan segera pada RM2,300 setan metrik,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak bulan semerta Mei 2020 dan Jun 2020, masing-masing menambah RM5 kepada RM2,290 dan RM2,256 setan metrik, manakala Julai 2020 susut RM3 kepada RM2,232 setan metrik dan Ogos 2020 menurun RM6 kepada RM2,218 setan metrik.
Jumlah dagangan meningkat kepada 50,889 lot daripada 40,498 lot pada Jumaat lepas, dan kepentingan terbuka melonjak kepada 259,456 kontrak daripada 248,527 kontrak sebelumnya.
Di pasaran fizikal, April Selatan meningkat RM36 kepada RM2,300 setan metrik.
— BERNAMA
Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali