Nik Nazmi ketuai delegasi ke Singapura, bincang kesan El-Nino, jerebu

Nik Nazmi ketuai delegasi ke Singapura, bincang kesan El-Nino, jerebu

KUALA LUMPUR ,. Kerajaan akan memperkemas strategi dan mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara jiran, serta hubungan pelbagai hala di peringkat rantau ASEAN dalam menghadapi Monsun Barat Daya dan El Nino ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagi tujuan itu, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN, iaitu Mesyuarat ke-24 Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) dan Mesyuarat Technical Working Group (TWG) mengenai Jerebu Merentas Sempadan pada 7 dan 8 Jun di Singapura.

“Mesyuarat itu bagi membincangkan tentang persediaan negara-negara MSC menghadapi cuaca panas dan kering serta kemungkinan fenomena El Nino,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya, hari ini yang antara lain membentangkan laporan terkini cuaca, kualiti udara, tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat.

Nik Nazmi berkata turut dibincangkan tentang persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka berterusan sehingga September 2023, malah MBD 2023 dijangka lebih kering berbanding MBD tahun 2020 hingga 2022.

“Pada masa ini, keadaan El Nino-Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral dan keadaan El Nino dijangka berlaku pada separuh tahun kedua 2023 dengan kebarangkalian 82 peratus.

“Berdasarkan situasi cuaca ini, jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan boleh berlaku sekiranya kebakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata sebanyak 1,845 kes pembakaran terbuka telah direkodkan bagi tempoh 1 Jan hingga semalam dan terdapat lima kes kebakaran berskala besar dilaporkan baru-baru ini melibatkan hutan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan tapak pelupusan sampah haram.

“Pada masa ini, tiga kes kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi dan kerajaan negeri terlibat telah diminta untuk mempertingkatkan tindakan pencegahan pembakaran untuk mengelak kejadian seumpama berulang.

“Dalam tempoh itu, JAS mengeluarkan 236 arahan lapangan/amaran, 45 kompaun, 68 notis arahan dan satu tindakan mahkamah, ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)