Nik Nazmi Yakin Proses Demokrasi Pemilihan PKR Berjalan Lancar

Nik Nazmi Yakin Proses Demokrasi Pemilihan PKR Berjalan Lancar

AMPANG, 7 Mei 2025 – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, menyatakan keyakinannya terhadap proses demokrasi dalam Pemilihan PKR 2025 yang dijadual berlangsung pada 8 Mei ini.

Menurut beliau, peluang untuk menang atau kalah dalam pemilihan adalah seimbang dan merupakan sebahagian daripada perjalanan demokrasi dalam parti.

“Ini demokrasi, 50-50. Ada peluang untuk menang, ada juga untuk tidak menang,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan The Green Factory di Ampang pada Selasa.

Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, turut memaklumkan bahawa beliau akan menggunakan saluran parti yang betul dalam sebarang urusan berkaitan pemilihan peringkat pusat.

Beliau juga mengulas isu cuti panjang Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dikaitkan dengan keputusan pemilihan PKR baru-baru ini. Katanya, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah dalam pentadbiran kerajaan atau parti.

“Tiada isu dari segi kerja. Cuti beliau ikut peraturan, dan beliau turut hadir dalam mesyuarat pimpinan pusat yang lalu,” tambah beliau.

Nik Nazmi sebelum ini gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, dalam pemilihan peringkat cabang yang diumumkan pada Isnin.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This