Nilai dagangan sektor agrikomoditi meningkat kepada RM82 bilion

Nilai dagangan sektor agrikomoditi meningkat kepada RM82 bilion

KUALA LUMPUR,. Jumlah nilai dagangan sektor agrikomoditi bagi separuh pertama tahun ini meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM82 bilion berbanding RM79.8 bilion pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pendapatan eksport produk-produk agrikomoditi mencecah RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

“Nilai ini meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding RM61.1 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya dan ini disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM),” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 51.8 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi turut meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM33 bilion.

Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit susut sebanyak 12.3 peratus kepada 12 juta tan.

“Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan terhadap pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 telah memberi kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit,” katanya.

Menurutnya, pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan kerajaan pada 5 Jun 2020, dijangka dapat mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia.

Kesan pengurangan duti import sebanyak 5.0 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020 juga dijangka dapat merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India.

Selain itu, produk getah yang menyumbang 27.9 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi, juga meningkat 18.3 peratus kepada RM17.8 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

“Peningkatan itu disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan ketara sebanyak 40.3 peratus kepada RM11.8 bilion berbanding RM8.4 bilion bagi tempoh sama 2019.

“Kuantiti eksport sarung tangan getah juga meningkat secara ketara sebanyak 48 peratus kepada 563,000 tan berbanding 380,000 tan bagi tempoh sama sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang 15.1 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi dengan nilai eksport sebanyak RM9.6 bilion – susut 9.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

Mohd Khairuddin berkata eksport produk-produk koko yang menyumbang 4.9 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi, turut meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada RM3.1 bilion.

Nilai eksport lada merekodkan penurunan sebanyak 20 peratus kepada RM51.9 juta bagi separuh pertama 2020 berbanding tempoh sama pada 2019.

“Eksport produk-produk agrikomoditi ke Amerika Syarikat turut meningkat 24.9 peratus kepada RM9.6 bilion dan manakala ke China berjumlah RM9 bilion (peningkatan 20 peratus),” katanya.

Beliau berkata, purata harga MSM telah meningkat 21.8 peratus kepada RM2,433.50 satu tan berbanding RM1,998.00 satu tan.

Pada 21 Ogos lepas, harga itu telah meningkat kepada RM2,785.50 satu tan.

Purata harga getah asli (SMR 20) pula susut 13.3 peratus kepada RM5.15 sekilogram berbanding RM5.93 sekilogram, kata beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)