Nilai GMV e-dagang, khidmat penghantaran makanan meningkat US$7 bilion pada 2021

KUALA LUMPUR,. Sektor e-dagang dan perkhidmatan penghantaran makanan mencatat pertumbuhan sebanyak US$7 bilion (RM29.28 billion) dari segi nilai dagangan kasar (GMV) pada 2021, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini juga sejajar dengan impak pandemik COVID-19 yang telah mengubah landskap perniagaan dan mendorong pertumbuhan pendigitalan secara pesat dengan ramai pengusaha mula menerimaguna platform e-dagang dan seterusnya meningkatkan penggunaan digital dalam perniagaan.

“Apa yang jelas, ekonomi gig semakin penting di negara kita dengan kebanyakan mereka yang terbabit adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya ketika berucap merasmikan program Reboot Now! 2022 di sini, hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa transaksi e-dagang melonjak sebanyak RM71.7 bilion kepada RM268 bilion pada suku kedua 2021 berbanding RM196 bilion pada suku pertama 2020.

Pada 2021, perkhidmatan penghantaran makanan turut berkembang sebanyak 35 peratus.

Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata banyak perusahaan telah berjaya menerimaguna pendigitalan dalam perniagaan masing-masing seperti myBurgerLab, BloomThis, HausBoom, KPJ Healthcare dan Les’ Copaque yang turut membantu meluaskan pasaran mereka.

“Menjelang tahun 2025, sekurang-kurangnya 90 peratus atau lebih 800,000 PMKS dijangka melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, bagi menggalakkan pendigitalan dalam kalangan PMKS, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta di bawah Bajet 2022 menerusi skim geran pendigitalan PMKS untuk membantu usahawan mikro Bumiputera secara khusus.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,083 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang berperanan menyokong perusahaan khususnya di luar bandar yang mengalami kekangan alat peranti dan sambungan internet, akan turut beroperasi menjelang hujung tahun ini.

Mustapa berkata selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, PMKS akan lebih menumpukan perhatian terhadap pasaran antarabangsa.

“Kerajaan akan membantu PMKS yang berpotensi tinggi untuk melakukan usaha eksport menerusi pemberian bantuan dalam bentuk khidmat nasihat, tinjauan risikan pasaran antarabangsa, pendaftaran IP (protokol internet) serta pembangunan jenama dan produk,” kata beliau.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )