Nilai ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS

Nilai ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat kembali, pulih daripada kerugiannya sebelum ini dan dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Rabu, disokong oleh kenaikan harga minyak di tengah-tengah dolar AS yang agak lemah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6000/6050 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.6055/6100. Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat ringgit bagaimanapun dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat kerana pelabur mahu menantikan penilaian terkini Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah.

“Naratif akan ada monetari yang lebih ketat sekali lagi menjadi perhatian dan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 13-14 Jun, masih ada perbincangan mengenai kemungkinan berlakunya kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent meningkat 0.22 peratus kepada US$76.46 setong. Sementara itu pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika di Parlimen menekankan bahawa penyusutan nilai ringgit baru-baru ini disebabkan terutamanya kerana kenaikan faedah di Amerika Syarikat.

Tambahnya, unit tempatan itu bukan satu-satunya mata wang di rantau ini yang merosot nilainya tahun ini. Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan meningkat kepada 3.3001/3039 berbanding yen Jepun daripada 3.3050/3085 pada penutupan Selasa dan mengukuh berbanding euro untuk mencatatkan paras 4.9220/9274 daripada 4.9237/9286 tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.7183/7245 daripada 5.7131/7187 semalam.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan itu merosot berbanding baht Thai kepada 13.2443/2640 daripada penutupan Selasa pada 13.2357/2547 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.19/8.20.
Namun begitu, ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4135/4174 daripada 3.4140/4179 semalam dan lebih baik berbanding rupiah Indonesia kepada 309.5/310.0 daripada 309.8/310.3.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )