Nilai tambah perkilangan elektronik, telekomunikasi China tumbuh 8.3 peratus

BEIJING,. Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China memaklumkan, pengeluaran mesin percetakan 3D dan jam tangan pintar meningkat dengan kadar 70 peratus dalam tempoh tiga suku pertama tahun ini, manakala nilai tambah industri perkilangan kelengkapan elektronik dan telekomunikasi pula menokok 8.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Setakat penghujung September, sebanyak 690 ribu stesen 5G siap dibina di seluruh negara.

Pada sembilan bulan pertama tahun ini, penjualan telefon bimbit 5G melebihi 100 juta.

Seiring dengan teknologi 5G yang kian popular, terdapat banyak premis menggunakan kelengkapan pintar selain pertambahan produk inovatif yang lain.

Baru-baru ini, pengendali urusan pendidikan syarikat ByteDance memperkenalkan model lampu meja pintar. Melalui kamera kecerdasan buatan (AI), lampu yang dilengkapi sistem pintar itu berfungsi mewujudkan carian perkataan melalui hujung jari dan bacaan bahasa Inggeris.

Sementara Syarikat Baidu pula memperkenalkan fon kepala pintar tanpa wayar yang dilengkapi fungsi membuat nota melalui suara.

Ketua Bahagian Pembangunan Telekomunikasi MIIT, Wen Ku berkata, pihaknya akan menggalakkan dan mempergiatkan pembangunan dan perkongsian 5G serta penggunaan antara rangkaian yang berbeza.

Tambah beliau pihaknya juga menggalakkan pelbagai jenis terminal dipasarkan supaya teknologi pintar dapat memainkan peranannya dalam merangsang penggunaan, membantu mewujudkan transformasi serta memupuk penggerak baharu terhadap pembangunan ekonomi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )