NIMP 2030 pertingkatkan industri untuk Malaysia dan negara-negara selatan – MITI

NIMP 2030 pertingkatkan industri untuk Malaysia dan negara-negara selatan – MITI

KUALA LUMPUR,. Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menyasarkan untuk meningkatkan perindustrian melalui pendekatan baharu berdasarkan empat misi, yang bukan sahaja untuk Malaysia semata-mata tetapi juga kepada negara-negara Selatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau menjelaskan bahawa misi pertama adalah untuk meningkatkan kerumitan ekonomi serta menggalakkan aktiviti yang lebih kompleks berbanding daripada hanya pengeluaran nilai tambah yang rendah di Malaysia dan rantau ini.

“Misi kedua ialah untuk menyuntik teknologi kepada ekonomi yang bertenaga secara digital yang akan menyaksikan negara menggunakan lebih banyak automasi, teknologi, inovasi dan pendigitalan dan misi ketiga akan membantu mencapai sasaran sifar bersih dan negara-negara Selatan perlu bekerja dan menangani perubahan iklim secara bersama-sama,” kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang memetik Liew dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan penyertaan Liew secara maya dalam sesi Menteri Perdagangan dan Industri semasa Sidang Kemuncak Suara Selatan Kedua yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri India pada 17 Nov.

Selain Malaysia, sesi itu turut disertai oleh menteri-menteri perdagangan dan perniagaan dari 19 negara, termasuk Chile, Oman dan Uruguay.

Liew berkata bagi misi keempat, ialah mengenai keselamatan ekonomi dan keterangkuman, bertujuan bagi memastikan pembangunan ekonomi, khususnya perindustrian yang akan menyumbang kepada gaji dan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat.

Beliau menegaskan dalam mencari penyelesaian, setiap negara tidak mampu menangani semua krisis tanpa tindakan kolektif dalam kalangan negara-negara Selatan.

“Disebabkan oleh struktur ekonomi global semasa yang kurang memberangsangkan, adalah penting bagi negara-negara Selatan memastikan pembangunan ekonomi masing-masing akan menyumbang kepada masyarakat kelas pertengahan.

“Ia adalah elemen penting untuk penggunaan pasaran di peringkat domestik dan serantau dan meningkatkan perdagangan di antara satu sama lain bagi menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik kepada semua orang,” kata Liew dalam kenyataan berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)