Noktahkan generasi pembuli dengan undang-undang, kata pakar

Noktahkan generasi pembuli dengan undang-undang, kata pakar

KUALA LUMPUR,. Data Kementerian Pendidikan yang secara langsung mencerminkan peningkatan kes buli di sekolah belakangan ini, mencetuskan polemik dengan beberapa pihak mengesyorkan kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani permasalahan itu.

Syor mereka bersandarkan kebimbangan gejala sosial itu akan terus membarah selepas pihak berwajib mendedahkan sepanjang tahun ini setakat Oktober lalu sebanyak 4,994 kes dilaporkan, berbanding 3,887 kes pada 2022 dan 326 kes pada tahun sebelumnya.

Media juga kerap melaporkan kes sedemikian, antaranya pada September lepas tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul oleh sekumpulan pelajar tingkatan lima dalam kejadian di sebuah sekolah berprestij di Kuala Kangsar, Perak. Menyusul baru-baru ini, seorang pelajar tingkatan dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras di sini, juga dikatakan kerana tidak tahan dibuli.

Jelas, kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman akibat buli pada 2017, gagal memberi keinsafan ataupun pengajaran kepada pihak yang berkenaan, sekali gus kata pakar, mewajarkan penguatkuasaan satu undang-undang khas sepertimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Filipina.

Sekalipun Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual pada September lalu, pakar berpandangan tindakan itu belum memadai.

“Perlu ada undang-undang kerana garis panduan itu hanya membantu pihak sekolah mengendalikan kes buli. Bagi saya, penting penguatkuasaan (akta) sebagai pengajaran dan membangkitkan ketakutan supaya mereka tidak mudah membuli,” kata peguam Muhammad Akram Dr Abdul Aziz kepada Bernama.

BULI BUKAN SEKADAR FIZIKAL

Pada masa sama, Muhammad Akram meluahkan rasa kesal kerana masih ramai tidak menyedari salah laku buli tidak terhad kepada kekerasan fizikal semata-mata, tetapi turut merangkumi percakapan secara lisan seperti mengejek, mengusik atau menghina fizikal seseorang.

Malah katanya, buli juga boleh dilakukan dengan bahasa badan.

Tanggapan buli hanya berbentuk kekerasan fizikal membuatkan ramai mangsa buli secara lisan atau bahasa badan diabaikan, sekali gus menafikan hak mereka mendapat pengadilan, kata beliau lagi, menambah perbuatan tersebut memberi kesan kepada pembangunan sahsiah seseorang yang turut berisiko mengalami tekanan mental.

“Kerana itu saya melihat perlu ada akta bagi salah laku buli. Adanya undang-undang maka tafsiran buli itu lebih menyeluruh dan dapat membantu mangsa buli akibat percakapan seperti mengejek, menyebarkan khabar angin, panggilan mengaibkan atau mimik muka, misalnya menjegilkan mata, senyum sinis dan sebagainya,” kata beliau.

“Buat masa ini, antara undang-undang yang digunakan bagi menangani kes buli ialah Kanun Keseksaan, namun akta ini hanya boleh mensabitkan buli esktrem yang mengakibatkan kecederaan, bunuh dan ugutan,” jelasnya.

Turut senada, Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam, penyelidik bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, berkata dengan adanya peruntukan khusus undang-undang, si pembuli, sama ada secara fizikal ataupun lisan, dapat dikenakan hukuman setimpal.

Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 misalnya, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 bagi mereka yang disabitkan kesalahan membuli secara lisan, katanya yang menyifatkan jumlah denda itu tidak setimpal dengan kesan ke atas mangsa.

JANGAN SOROK

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim turut bersetuju dengan saranan pewujudan akta khusus, yang bagi beliau dapat menutup ruang dan peluang salah laku itu daripada berlaku.

“Semua pihak harus mengambil iktibar kes buli yang berlaku sebelum ini. Jangan wujudkan ruang untuk pembuli.
Contohnya, apabila pelajar mendaftar masuk ke asrama, akan ada program suai kenal antara pelajar baharu dan senior.
“Melalui program ini, pembuli boleh kenal pasti pelajar lemah atau mereka yang mudah dibuli, sekali gus merisikokan mereka (kepada buli). Malah, ada potensi mereka yang pernah menjadi mangsa sebelum ini bertukar menjadi pembuli,” katanya yang turut mencadangkan agar program seperti itu diteliti semula dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

Pada masa sama, beliau menegaskan pihak sekolah harus bertanggungjawab dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya berlaku insiden buli di institusi mereka, waima sekolah berprestij.

“Sebelum ini pernah tular sekolah berasrama penuh sanggup menyembunyikan kes yang dianggap mampu menggugat nama baik mereka termasuk kejadian buli, semata-mata mahu menjaga imej sekolah,” kata Shahul Hamid.

Pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Dr Norsafatul Aznin A. Razak pula melihat pihak sekolah yang menyembunyikan insiden buli sebagai mengabaikan kebajikan pelajar.

Katanya, ini kerana setiap pelajar mempunyai hak untuk berasa selamat dan pihak sekolah perlu memberi jaminan keselamatan terhadap warganya.

“Semua sekolah harus mempunyai prosedur yang jelas untuk melapor, menyelidik dan menangani kes buli. Perlu ada langkah pencegahan buli dengan melaksanakan program pencegahan buli di sekolah.

“Ibu bapa juga kena berwaspada dan perlu melihat sama ada anak mereka berpotensi atau berdepan risiko dibuli dalam kalangan rakan-rakan mahupun lingkungan sekitar mereka, agar anak itu dapat dibantu apabila perbuatan tersebut berlaku,” katanya.

PERANAN MASYARAKAT

Sementara itu, Mohamad Naqiuddin turut meletakkan tanggungjawab menamatkan salah laku buli pada masyarakat, yang katanya perlu memainkan peranan proaktif dalam menyelesaikan permasalahan tersebut.

Kepekaan masyarakat terhadap isu itu akan dapat membendung salah laku berkenaan di peringkat awal, kata beliau, dan menambah ini termasuk mengenal pasti mereka yang menjadi mangsa buli dan mengambil langkah segera bagi menanganinya.

“Kajian mendapati kegagalan mengawal perasaan marah, kurang rasa empati, desakan rakan sebaya serta pelaksanaan disiplin di sekolah yang kurang berfungsi antara faktor yang mendorong perbuatan buli.

“Oleh sebab itu kita perlukan pembabitan komuniti yang aktif untuk menamatkan gejala buli. Persatuan ibu bapa dan guru juga boleh melaksanakan program menghentikan buli di sekolah termasuk menjalankan kempen antibuli,” katanya.

Beliau juga melihat portal aduan buli yang dilancarkan KPM pada Ogos tahun lepas sebagai medium terbaik bagi melaporkan kes buli di setiap sekolah seluruh negara, berbanding menyebarkan insiden itu di media sosial.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)