
Noor Azam Mohd Yusof Diberi Kepercayaan Sebagai CEO Baharu Sun Life Malaysia Takaful
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Sun Life Malaysia Takaful Bhd (SLMT) telah melantik Noor Azam Mohd Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menggantikan Jeffry Azmi yang telah bersara.
Pelantikan yang berkuat kuasa 3 Februari 2025 ini menandakan fasa baharu dalam kepimpinan SLMT, dengan Azam membawa lebih dua dekad pengalaman dalam industri takaful dan insurans konvensional.
“Azam memiliki kepakaran yang luas dalam pengurusan strategi pemasaran, bancatakaful, serta pembangunan dan transformasi perniagaan. Dengan pengalaman yang kukuh ini, beliau akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan SLMT sebagai peneraju industri bancatakaful,” kata Sun Life Malaysia dalam satu kenyataan.
Sebagai CEO, beliau diberi mandat untuk mengawasi keseluruhan operasi syarikat, memastikan kepatuhan terhadap prinsip syariah dan standard tadbir urus, serta merangka strategi pertumbuhan yang mampan untuk masa depan syarikat.
Sebelum menyertai Sun Life Malaysia, Azam telah mengetuai sebuah syarikat takaful keluarga utama sebagai CEO sejak 2017.
Dari segi akademik, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Universiti Illinois Utara dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).