Noraseela lakar sejarah sebagai wanita pertama sandang jawatan Presiden MOA

KUALA LUMPUR,. Bekas pelari berpagar Malaysia Noraseela Mohd Khalid melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dinobatkan sebagai Presiden Persatuan Olympian Malaysia (MOA).

MOA dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Noraseela bersama-sama tujuh lagi penyandang jawatan MOA bagi penggal 2020-2022 tanpa melalui proses undian kerana pencalonan mereka tidak dicabar.

Pelantikan beliau diumumkan bekas Presiden MOA Karu Selvaratnam, bekas pelari pecut negara, semasa Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu yang berlangsung secara maya pada 21 Nov lepas.

“Majoriti ahli jawatankuasa (exco) sedia ada termasuk Presiden Encik Karu Selvaratnam membuat keputusan untuk berundur dan menolak untuk terus memegang jawatan mereka.

“Tidak ada cabaran bagi mana-mana pencalonan jawatan exco baharu, dan tiada pengundian diperlukan kerana mereka semua tidak dicabar. Terdapat beberapa muka baharu dan buat pertama kali dalam sejarah MOA, seorang Presiden wanita telah dilantik,” menurut kenyataan itu.

Selain pelantikan Noraseela sebagai presiden persatuan itu, bekas pemain hoki Mohan Jiwa dilantik sebagai Timbalan Presiden diikuti atlet Taekwondo Malaysia Che Chew Chan sebagai Setiausaha Kehormat MOA.

Penyandang lain termasuk bekas atlet jalan kaki kebangsaan Annastasia Karen Raj sebagai Naib Presiden serta bekas pemain badminton Ong Ewe Hock, bekas pemanah negara Mon Redee Sut Txi dan perenang kebangsaan Phee Jinq En masing-masing sebagai ahli jawatankuasa MOA.

Mengulas pelantikan itu, Noraseela berkata beliau amat berbesar hati dan akan memfokus kepada satu daripada sasarannya untuk persatuan tersebut iaitu mewujudkan kesedaran mengenai kewujudan MOA.

“Saya memahami tanggungjawab yang perlu dipikul oleh saya dan ahli jawatankuasa. Kami mempunyai kekuatan jika bekerja sebagai satu pasukan dan jelas bahawa kepelbagaian latar belakang dalam kalangan ahli akan memberi manfaat kepada persatuan,” katanya kepada Bernama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )