Norma baharu: Masyarakat perlu letak agenda negara melebihi peribadi, patuhi SOP

Norma baharu: Masyarakat perlu letak agenda negara melebihi peribadi, patuhi SOP

KUALA LUMPUR,. Masyarakat perlu meletakkan agenda negara sebagai keutamaan harian melebihi agenda peribadi, dalam konteks pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan, selari dengan pembudayaan norma baharu mencegah penularan COVID-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, meskipun pemupukan budaya baharu itu mengambil sedikit masa, namun ia akan tetap berjaya dan sebati dalam kalangan masyarakat, sekiranya dipraktikkan secara menyeluruh ketika negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Tujuannya bukan untuk menyusahkan masyrakat, bukan juga untuk sukarkan kehidupan masyarakat, tetapi untuk pastikan negara dalam keadaan selamat,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Pembudayaan Norma Baharu Perkasa Komuniti’ terbitan Bernama TV malam ini.

“Masyarakat ketika ini seolah-olah sudah lupa senario atau realiti sebenarnya, kerana majoritinya menjangka bahawa COVID-19 sudah dapat dihapuskan secara holistik. Akhir-akhir ini kealpaan masyarakat melaksanakan perintah (SOP), angka kes baharu meningkat kepada dua angka.

“Saya yakin masyarakat dan kerajaan tidak mahu melaksanakan PKP asal, kerana akan beri impak negatif kepada sektor ekonomi dan negara,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Rosnah Ramly berkata, amat penting masyarakat untuk memahami bagaimana virus COVID-19, boleh menjangkiti dan merebak kepada orang ramai.

“Ia merebak melalui rembesan batuk dan bersin dengan jarak satu meter, itu asasnya. KKM sentiasa nyatakan dan memberi peringatan kepada masyarakat, untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala dan pentingkan amalan jarak fizikal.

“Kadang-kadang masyarakat tidak sedar setelah memasukkan tangan ke dalam hidung dan mulut dan droplets itu jatuh pada permukaan dan apabila disentuh boleh terkena jangkitan. Pematuhan dan pembudayaan norma baharu ini amat penting bukan sahaja kerana adanya COVID-19, mungkin sahaja satu hari nanti ada jangkitan lain yang tidak diketahui,” katanya.

Beliau menegaskan, KKM mahukan masyarakat untuk sentiasa beringat dan mengamalkan budaya 3W iaitu, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam, yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala, dan amaran dari KKM, yang lebih berkonsep peringatan seperti elakkan bersalaman atau bersentuhan.

Bagaimanapun, beliau memuji berdasarkan laporan harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan adalah pada tahap tinggi, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang ingkar.

Pada 8 Ogos lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu dan buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19, yang memuatkan konsep pembudayaan norma baharu dan strategi kerajaan ketika PKPP.

Buku 26 muka surat itu yang diterbitkan KKM, turut memaparkan tindakan yang perlu diambil baik dari sudut orang perseorangan, keluarga dan komuniti, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )