Normal Baharu: DHL, akademik keluarkan kertas putih mengenai rantaian bekalan selepas COVID-19

Normal Baharu: DHL, akademik keluarkan kertas putih mengenai rantaian bekalan selepas COVID-19

KUALA LUMPUR,. Syarikat logistik DHL, bersama dengan profesor Strategi Rantaian Bekalan di Cranfield University, United Kingdom, Richard Wilding, mengeluarkan kertas putih membayangkan kemungkinan perubahan dalam rantaian bekalan susulan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Komersial DHL Katja Busch berkata dengan menganalisis impak daripada COVID-19 terhadap pemacu rantaian bekalan utama, kertas itu menyediakan beberapa strategi dan tindakan untuk mewujudkan rantaian bekalan masa depan.

“Dengan sekatan yang telah dilonggarkan dan ekonomi yang tidak dibekukan di kebanyakan wilayah di dunia, tiba masanya untuk membuat ringkasan retrospektif pertama mengenai daya tahan rantaian bekalan global.

“Bagi kami sebagai pakar logistik, penting untuk menganalisis cabaran dan pengalaman industri semasa krisis ini dan membayangkan bagaimana daya tahan rantaian bekalan pada masa depan supaya kami dapat memberi nasihat yang terbaik kepada pelanggan kami.

“Sebagai peneraju dunia dalam bidang logistik, kami mempunyai pandangan dan kepakaran untuk menilai situasi dengan tepat,” katanya dalam kenyataan selepas taklimat media digital mengenai ‘DHL Whitepaper: Post-Coronavirus Supply Chain Recovery’.

Beliau berkata industri dan rantaian bekalan tidak akan sama selepas COVID-19.

Sementara itu, Wilding berkata dalam dunia normal pra-baharu, rantaian bekalan akan dibentuk semula untuk menjadikannya lebih berdaya tahan.

Beliau berkata permintaan akan lebih tidak menentu dan citarasa pengguna akan berubah-ubah, meningkatkan keperluan kepada aliran pengangkutan yang fleksibel dan alternatif serta rangkaian gudang.

“Dalam normal baharu, jika rantaian bekalan anda sama seperti sebelum COVID-19, anda mungkin membuat sesuatu yang salah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)