Norrodin sasar rapat jurang dengan penunggang terbaik di GP Aragon
KUALA LUMPUR,. Pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin berusaha meningkatkan prestasinya dan merapatkan jurang dengan pelumba-pelumba terbaik di Grand Prix (GP) Aragon di Litar Motorland Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.
Pelumba Petronas Sprinta Racing itu yang menggantikan Khairul Idham Pawi berkata beliau berminat meningkatkan pengetahun yang dipelajarinya ketika membuat penampilan sulung di GP San Marino baru-baru ini, sambil menambah beliau masih menyesuaikan diri menggunakan jentera Triumph.
“Saya serasi dengan Litar Aragon. Saya yakin mampu memberi saingan yang terbaik selepas beraksi cemerlang dalam Moto3 tahun lepas dan dalam kelas Moto2 kejohanan CEV.
“Sudah pasti litar ini lebih baik untuk saya berbanding di Misano (Litar Dunia Marco Simoncelli ),” kata bekas pelumba Moto3 yang dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu, hari ini.
Adam, 21, gagal menyerlah pada GP San Marino baru-baru ini selepas terlibat dalam kemalangan di pusingan keenam di litar sepanjang 4.2 kilometer.
Sementara itu, pelumba kelas Moto3 pasukan yang sama, John McPhee dari Great Britain dan Ayumu Sasaki dari Jepun mempunyai misi berbeza dalam perlumbaan hujung minggu ini, dengan McPhee menyasarkan untuk menaiki podium, sementara Sasaki berharap dapat bangkit semula dari kekecewaan pada GP San Marino.
Untuk rekod, McPhee meraih podium ketiga di San Marino selepas memenangi tempat kedua, sementara Ayumu gagal menamatkan perlumbaan akibat terlibat dalam kemalangan dengan tiga pelumba di pusingan pembukaan.
“Saya memperoleh beberapa keputusan yang baik di Aragon sebelum ini dan beberapa tahun lepas saya berusaha untuk menaiki podium, jadi, kita lihat apa yang akan berlaku di sana,” kata McPhee.
— BERNAMA