Noryn Aziz, Zara Zya kongsi rasa… Bangkitkan semangat ‘cancer survivor’

Noryn Aziz, Zara Zya kongsi rasa… Bangkitkan semangat ‘cancer survivor’

KANSER bukan hukuman tuhan. Kanser juga bukan penamat kehidupan.

Itulah antara kata-kata semangat daripada dua selebriti popular Noryn Aziz dan Zara Zya buat orang yang hidup dengan kanser atau cancer survivor.

Sebagai tanda sokongan, kedua-dua selebriti ini hadir ke Majlis Fashion Fight Cancer sempena program Pink Unity anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan jenama fesyen Variante di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Menurut Noryn, makna kanser itu sendiri sangat dekat dihatinya.

“Bila bercakap pasal kanser ini, ia lebih dekat dengan saya kerana arwah ayah saya meninggal pada Disember tahun lalu disebabkan kanser hati tahap empat.

“Bila dapat tahu, doktor beritahu ayah hanya boleh hidup selema enam bulan. Iyalah, semua pun tahu apabila kanser tahap empat tu, setakat mana sahaja boleh bertahan.

“Sebenarnya hati saya tak boleh terima lagi (pemergian arwah ayah). Tapi kita redha akan ketentuan Allah. Kadang-kadang saya rasa dia masih ada kerana saya sangat rapat dengan arwah ayah.

“Walaupun rasa tak boleh terima, tapi mesti terima hakikat. Apa yang boleh dilakukan adalah hadiah Al Fatihah dan doa selalu.

“Bukan arwah ayah saja, sebelum ini pun ada makcik, nenek dan saudara mara meninggal dunia disebabkan kanser payudara.

“Saya juga rasa bertuah dan bersyukur apabila diberi peluang menjaga arwah ketika sakit. Tambah pula, ketika itu negara masih dilanda COVID-19 semua kena duduk rumah. Jadi kami sekeluarga jaga dia. Alhamdulillah,” katanya kepada Wilayahku pada majlis tersebut.


DARI kiri: Zara Zya, Raja Azura, Noryn Aziz, Leslie Variyan dan Lena Abdullah.

Zara Zya juga berharap persepsi negatif terhadap kanser dalam kalangan masyarakat dapat diubah.

“Saya menyokong program ini kerana Variante sendiri banyak memberi kerjasama kepada saya. Lagi pun kami memang dah lama berkawan.

“Apatah lagi dalam acara yang menyokong cancer survivor untuk terus bersemangat menjalani kehidupan seharian. Sudah tentu ia adalah salah satu tanggungjawab saya sebagai selebriti untuk mendidik masyarakat tentang kanser.

“Apabila bercakap pasal kanser, orang selalu takut kerana mereka fikir kanser adalah pembunuh nombor satu. Anggapan itu salah dan tak boleh ada dalam diri.

“Jadi saya sendiri pun sedar perlunya ada ilmu berkaitan kanser agar saya boleh sampaikan kepada orang lain.

“Walaupun saya tak dikelilingi oleh pesakit kanser, tapi hari ini saya bawa pengurus saya Jamal yang juga cancer survivor. Saya bawa dia ke majlis ini juga adalah kerana mahu menyokongnya,” ujarnya.


PENGASAS dan Pengarah Urusan dan Kreatif Variante, Leslie Variyan, terharu dengan sokongan artis-artis popular seperti Noryn Aziz.

Dalam majlis itu juga, hab fesyen terkemuka, Variante melancarkan tiga rekaan eksklusif hijab bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dan sekaligus menyuntik semangat pejuang kanser sepanjang Oktober ini sempena Bulan Kesedaran Kanser.

Bertemakan By survivors, for survivors, kerjasama dengan Pink Unity di bawah National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dilihat merupakan peluang terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat dan pejuang kanser khususnya.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan dan Kreatif Variante, Leslie Variyan, rekaan tiga hijab berbentuk bawal berlatarkan Pink Carnation itu menjadi inspirasi yang mewakili kasih sayang, kesyukuran dan penghargaan untuk disebarkan kepada masyarakat.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan Pink Unity kerana mahu bersama-sama dalam perjuangan ini dan mengubah dunia.

“Dan saya melihat Pink Unity sebagai satu sistem sokongan yang kuat bagi pejuang kanser. Kanser juga bukanlah ‘hukuman mati’ dan okongan yang betul akan mengubah cara pemikiran dan penerimaan.

“Saya sendiri kehilangan bapa dan kakak ipar akibat kanser. Apabila seseorang disahkan mengidap penyakit ini, sistem sokongan sangat penting bagi membantu mereka mengharungi ujian,” katanya


PENGERUSI Pink Unity, Lena Abdullah (kiri) bersama Raja Azura, Zara Zya dan Noryn Azi dalam Majlis Fashion Fight Cancer

Sementara itu, Pengerusi Pink Unity, Lena Abdullah merakamkan penghargaan atas usahasama bersama Variante dan berharap agar lebih ramai yang cakna akan kanser.

“Lebih 10 tahun Variante membantu Pink Unity dan saya masih ingat, Leslie merupakan insan pertama yang menaja pakaian dan baju kurung untuk pejuang kanser sempena Islamic Fashion Show.

Waktu itu kami tiada dana yang cukup untuk menyediakan lebih 20 busana dan Variante tampil dan sediakan secara percuma.

“Kita tidak akan mati kerana kanser kerana ia boleh dirawat. Kanser adalah anugerah dari Allah, kita akan menjadi insan yang lebih baik. Buat rawatan dan jangan tunggu sehingga tahap terakhir.

“Kita kenal tubuh badan kita. Andai ada apa sahaja yang lain dirasai, terus berjumpa doktor. Jangan ambil masa yang lama, terus ambil tindakan,” jelasnya.

Sempena Fashion Fights Cancer, sebahagian hasil jualan tudung dan seleksi pakaian di butik Variante sepanjang Oktober akan disalurkan kepada Pink Unity sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kesedaran Kanser.

Bagi menyatakan sokongan anda buat pejuang kanser, lakukan pembelian di www.variante.com.my.

sumber – WILAYAHKU

hipz.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )