Nurul Izzah mahu ‘berguru’ dengan Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus

Nurul Izzah mahu ‘berguru’ dengan Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus

NILAI,. Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan persekitaran perlumbaan yang berbeza-beza menjelang aksinya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Justeru, pelumba berusia 21 tahun itu mahu menimba ilmu dengan Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berpengalaman dan tahu bagaimana ‘berdamai’ dengan persekitaran perlumbaan.

“Semasa di Jepun saya agak kecewa, saya rasa boleh pergi lebih laju tapi masa saya lebih perlahan berbanding sebelumnya.

“Saya kadang-kadang bergelut untuk membaca trek serta biasakan diri dengan persekitaran baharu. Saya akan berbincang dengan jurulatih Beasley (John) selain menimba ilmu dengan Datuk Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, baru-baru ini.

Atlet kelahiran Kedah itu berkata, kejohanan kebangsaan kali ini merupakan platform untuk beliau memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti ketika kejohanan Piala Trek Jepun baru-baru ini.

“Antara yang saya perlu tambah baik adalah saya tidak boleh kelam-kabut semasa perlumbaan. Ketika di negara orang, saingan banyak dan saya mudah kelam-kabut.

“Saya juga nak perkukuh taktik perlumbaan terutama acara keirin sebab ia penting untuk saya,” katanya yang turut diberi julukan The Pocket Rocket Women.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)