OCR lancarkan projek Vertex Kuantan bernilai RM268 juta tahun depan

OCR lancarkan projek Vertex Kuantan bernilai RM268 juta tahun depan

KUALA LUMPUR,. Pemaju perumahan eksklusif OCR Group Bhd bersedia untuk melancarkan projek Kuantan keduanya iaitu Vertex Kuantan dalam separuh pertama 2020.

Pengarah Urusan Billy Ong Kah Hoe dalam satu kenyataan berkata pembangunan bercampur-campur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM268 juta itu akan menjadi pembangunan tertinggi di Kuantan dan dirancang siap pada separuh pertama 2023.

Pelancaran itu dibuat selepas syarikat menerima kadar ambilan yang positif sebanyak 85 peratus ke atas PRIYA Scheme Kuantan, mencerminkan permintaan kukuh bagi perumahan mampu milik.

PRIYA Scheme Kuantan merupakan usaha sama 50:50 antara anak syarikat OCR, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd dengan Yayasan Pahang untuk membangunkan tanah seluas 100 ekar (40.47 hektar) di Kuantan.

Ia terletak di Penor, 15 kilometer dari pusat bandar Kuantan dan mempunyai kemudahan rekreasi serta gaya hidup seperti padang bola sepak, taman dan trek joging.

Projek dengan GDV bernilai RM166.0 juta itu terdiri daripada 978 unit (20 ‘ x 70 ‘) rumah teres setingkat dan 146 unit (40 ‘ x 80 ‘) rumah berkembar satu tingkat dengan harga bermula daripada RM137,000.

Projek ini dijangka siap pada suku kedua 2021.

“Kuantan merupakan antara, lokasi yang paling meriah di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, dengan pelaburan besar serta pembangunan perindustrian seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan dan juga jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan datang.

“Dengan pembangunan Kuantan yang amat pesat, kami percaya bahawa projek ini bukan sahaja akan menyediakan akses kepada kawasan harta tanah terbaik di Kuantan, tetapi turut menyokong hasrat kerajaan negeri yang mahu menyediakan peluang pemilikan rumah kepada setiap orang,” katanya sambil menambah bahawa ia akan menyediakan aliran pendapatan berulang yang mantap untuk tempoh 15 tahun akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)