One WASH Fund: Era baharu bagi pembiayaan pembangunan – Azmin
KUALA LUMPUR,. One WASH Fund, inisiatif pembiayaan bersama antara Islamic Development Bank (IsDB) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), akan memulakan era baharu bagi pembiayaan pembangunan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata dana berkenaan adalah contoh kerjasama pelbagai hala, dengan pertubuhan yang memiliki kekuatan, keupayaan dan kapasiti penuh berkerja bersama-sama untuk menyelesaikan isu global.
Inisiatif itu dibentangkan semasa Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan bagi Pembangunan, yang menjadi sebahagian daripada acara Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA74).
“Pewujudan One WASH Fund, berasaskan mekanisme pembiayaan inovatif untuk menarik modal pelabur swasta dan pihak dermawan baharu, telah menggabungkan sumbangan kewangan sosial Islam dengan pembiayaan penderma tradisional.
“Inisiatif bersama itu adalah tepat pada masanya memandangkan jangkaan global terkini menunjukkan dalam tempoh setiap 10 saat satu individu dijangkiti penyakit taun atau penyakit cirit-birit yang serupa, dan program yang disokong oleh dana tersebut dijangka dapat menambah baik kehidupan lima juta penduduk di 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang diberi penghormatan untuk mengumumkan inisiatif baru di Dialog Peringkat Tinggi susulan pengiktirafan atas perkongsian erat dinikmati Malaysia bersama-sama IsDB dan IFRC.
“Dalam hal ini, kita tidak boleh meletakkan terlalu banyak penekanan kepada peranan penting kerjasama pelbagai hala seperti yang dijelaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Perbahasan Umum UNGA74.
“Bagaimanapun, untuk multilateralisme berjaya, semua pihak yang terlibat perlu berada di kedudukan yang sama dalam sokongan dan rundingan kepentingan mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai rancangan pembangunan jangka panjang untuk 10 tahun akan datang.
Beliau mengumumkannya semasa berucap di acara sampingan mengenai Pengawasan Alam Sekitar dalam Menangani Kemiskinan ke arah Mencapai Pembangunan Mampan Untuk Semua di Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan bagi Pembangunan, sebahagian acara UNGA74.
“Ketika memastikan usaha kami ke arah mencapai industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi tidak berkurangan, kami pada masa sama mengubah suai hala tuju ekonomi kami untuk menjana nilai lebih besar dalam sektor pertanian, yang lazimnya dikaitkan dengan kemiskinan dan masyarakat berpendapatan rendah.
“Kami yakin peluang baharu yang ditawarkan akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang menjadi pemacu penting ke arah meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan melonjakkan produktiviti pada masa yang sama,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ini juga akan dilengkapi dengan langkah memperkukuhkan asas-asas ekonomi Malaysia dalam meningkatkan kuasa beli selain menyediakan taraf hidup yang baik menjelang 2030.
— BERNAMA