Operasi Bersepadu JIM Selangor gempur Kebun sayur
( Gerbangpost ) – 22 Sept – Jabatan Imigresen Negeri Selangor telah mengadakan satu operasi Bersepadu pada 22.09.2019 ( AHAD ) bermula jam 7.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari dengan kekuatan Pegawai dan anggota seramai 160 orang anggota terdiri dari JIM Selangor, JIM Putrajaya dan JIM WP KUALA LUMPUR dan turut disertai 5 orang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta 4 Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Selangor.
Operasi lokasi pertama tertumpu di kawasan kebun sayur di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Hasil dari serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan seramai 26 orang warga asing telah diperiksa dan kesemuanya ditahan kerana dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
Manakala dilokasi kedua yang merupakan tanah Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh yang dijadikan pusat penanaman rumput dan nurseri pokok bunga. Pasukan operasi telah berjaya menahan seramai 22 orang warga asing yang turut dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Semasa serbuan dilakukan terdapat segelintir PATI ini telah cuba melarikan diri dan bersembunyi di kawasan belukar namun gagal kerana anggota serbuan telah berjaya mengesan tempat persembunyian mereka. Terdapat juga diantara mereka sedang nyenyak tidur tanpa menyedari Kehadiran pasukan operasi disebabkan serbuan dilakukan awal pagi.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk tujuan siasatan lanjut. PATI ini juga akan direman selama 14 hari di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih. Kesalahan yang dilakukan oleh PATI ini adalah dibawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah, seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa dan peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah diberikan.
Siasatan juga akan tertumpu untuk mengesan majikan asal PATI tersebut dan sekiranya terdapat bukti, majikan ini juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Operasi turut disertai Oleh Tuan Mohamad Shukri bin Nawi, Pengarah Imigresen Negeri Selangor
Pecahan PATI adalah seperti berikut :
Bangladesh – 24 (L)
Indonesia – 9(L),7(P),2(KKP),1(KKL)
Myanmar – 4(L)
Nepal – 1(L)
Umur PATI yang ditahan antara 2 bulan hingga 50 tahun. Sekian, terima kasih.