Operasi HRAA fokus advokasi kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak

Operasi HRAA fokus advokasi kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak

GOMBAK,. Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2023 menumpukan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata inisiatif tersebut susulan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia mendapati sebanyak 1,252 kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah direkodkan dari tahun 2012 sehingga 2021.

Menurutnya, menyedari senario itu, Jabatan Pengangkutan Jalan mengambil serius isu tersebut yang perlu ditangani dan penguatkuasaan dijalankan secara advokasi kepada pemandu yang tidak meletakkan kanak-kanak di kerusi keselamatan.

“Sasaran utama kempen pada kali ini adalah lebih tertumpu kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak memandangkan kempen ini memfokuskan kepada kerusi keselamatan kanak-kanak dan pemakaian tali pinggang keledar.

“Kita harap kempen pada kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil mengenai pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak tanpa mengira jarak sesuatu perjalanan kepada pengguna jalan raya khususnya, sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada kemalangan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan risalah keselamatan kepada pengguna pada Kempen Keselamatan Jalan Raya dan HRAA 2023 di Plaza Tol Gombak di sini, semalam.

Ketika menyampaikan risalah tersebut, Hasbi turut meluahkan kebimbangannya apabila terdapat kanak-kanak yang tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kerana khuatir jika berlaku brek kecemasan atau kemalangan, kanak-kanak itu berisiko untuk cedera.

Bagaimanapun, Hasbi berkata kerajaan memahami masalah yang ditanggung pengguna untuk mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak dan akan terus melakukan fasa advokasi sebelum menguatkuasakan peraturan itu dilaksanakan.

Sementara itu, operasi HRAA yang bermula esok (27 Jun) dan 28 Jun serta 1 hingga 2 Julai turut memfokuskan kepada sembilan kesalahan iaitu memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan terlebih muatan.

Hasbi berkata operasi HRAA turut memberi fokus kepada penunggang atau pembonceng motosikal selain melaksanakan strategi penguatkuasaan menerusi aktiviti penyamaran dan pemeriksaan bas yang melibatkan 28 terminal bas utama di seluruh negara.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus (0 )