
Operasi Imigresen Buru GRO di Kota Damansara, 32 Warga Asing Ditahan
KUALA LUMPUR, 24 April – Sebuah premis hiburan di Kota Damansara diserbu Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi khas malam tadi yang membawa kepada penahanan 32 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin memaklumkan bahawa operasi tersebut mendedahkan 29 wanita dari Thailand dan Laos yang dipercayai menjadi pelayan pelanggan (GRO) tanpa dokumen sah, bersama tiga pekerja lelaki dari Bangladesh.
“Majoriti daripada mereka telah bekerja di negara ini melebihi enam bulan. Terdapat juga percubaan melarikan diri oleh seorang pekerja lelaki, namun berjaya dihalang pegawai operasi,” ujarnya.
Sebanyak 44 individu diperiksa dalam serbuan melibatkan 21 pegawai, dan tujuh warga tempatan telah dikeluarkan saman saksi untuk membantu siasatan.
Difahamkan, semua tahanan dipercayai diuruskan oleh ejen yang menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan, manakala siasatan kini dijalankan mengikut beberapa seksyen di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen 1963.