
Operasi nyah cemar diperhebatkan di seluruh negara hari ini
KUALA LUMPUR, 30 Mac — Operasi nyah cemar bagi mengekang penularan COVID-19 yang sebelum ini hanya dijalankan di beberapa kawasan berisiko tinggi jangkitan wabak itu diperhebatkan lagi hari ini dengan operasi besar-besaran di seluruh negara.
Operasi yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu adalah salah satu pendekatan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, selain melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seawal 9 pagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi kerajaan yang lain berganding bahu memulakan operasi nyah cemar di kawasan-kawasan tumpuan di seluruh negara.
Operasi tersebut dilakukan dengan pelbagai cara termasuk penggunaan jentera bomba untuk semburan disinfeksi COVID-19 dan penyemburan secara manual.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM di ibu negara menumpukan kawasan operasi sanitasi awam mereka di beberapa lokasi utama termasuk Istana Negara dan Bukit Damansara.
Hazmat Kelantan bersama pelbagai agensi lain dengan keanggotaan seramai 110 orang pula melaksanakan operasi di Penjara Pengkalan Chepa, Institusi Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu dan di sekitar bandar Kota Bharu, yang merupakan kawasan zon merah COVID-19 di negeri itu.
Tidak terkecuali menjadi tumpuan operasi nyah cemar di negeri itu ialah beberapa lokasi tumpuan ramai termasuk Pasar Tok Guru, Cabang Tiga Pengkalan Chepa dan Pasar Siti Khadijah.
JPBM Perlis bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Perbandaran Kangar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pula menjadikan Terminal Feri Kuala Perlis, pasar awam dan stesen bas sebagai tumpuan operasi mereka.
Tumpuan operasi nyah cemar Kedah hari ini ialah di kawasan perumahan flat, pasar raya serta beberapa lokasi awam sekitar daerah Kuala Muda dan Kota Setar yang dilihat berpotensi tinggi berlakunya penularan wabak itu berbanding daerah lain.
Johor pula melaksanakan operasi sanitasi awam serentak di laluan jalan kampung di dua kawasan zon merah iaitu Kampung Sinaran Baru, Kempas dan Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang.
Daerah Kuantan dan Jerantut pula menjadi lokasi pertama operasi sanitasi awam di Pahang melibatkan 120 pegawai dan anggota, dan esok sanitasi dijalankan di daerah Pekan.
Kira-kira 40 pegawai dan anggota pelbagai agensi di Terengganu pula melaksanakan sanitasi awam di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu termasuk Pasar Besar Kedai Payang, Pasar Borong Gong Pauh, Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, institusi kewangan dan beberapa pasar raya utama.
Turut menjadi tumpuan operasi itu di Terengganu itu ialah kawasan kuarters kediaman, masjid dan sebuah madrasah di Kampung Kubang Bujuk yang menempatkan kira-kira 300 jemaah termasuk ahli keluarga yang sedang dalam proses kuarantin secara sukarela.
Di Pulau Pinang, operasi cemar dilakukan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan kawasan kes COVID-19 sederhana di daerah Seberang Perai Tengah dan Timur Laut berikutan belum ada kawasan di negeri itu yang dikategorikan dalam zon merah.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali pula mengetuai operasi sanitasi awam di daerah Seremban yang merekodkan kes positif COVID-19 paling tinggi di negeri berkenaan.
Tumpuan operasi lain ialah kawasan perumahan dan tempat tumpuan awam iaitu Panchor Jaya di Ampangan; Taman Desa Orkid; Taman Sri Pagi, Taman Desa Melor dan Taman desa Anggerik yang kesemuanya di Senawang.
Dua lokasi panas jangkitan COVID-19 di Selangor iaitu Petaling Jaya dan Sungai Ramal Dalam, Kajang menjadi tumpuan operasi nyah cemar melibatkan 56 petugas diketuai Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor.
— BERNAMA