Ops Sarang: 29 lelaki termasuk tokan dadah ditahan dalam kebun kelapa sawit

Ops Sarang: 29 lelaki termasuk tokan dadah ditahan dalam kebun kelapa sawit

BANTING,. Taktik sering bertukar tempat pertemuan jual beli dadah tidak berhasil apabila 29 penagih termasuk seorang warga Bangladesh, ditahan menerusi Ops Sarang yang dijalankan pihak polis di kebun kelapa sawit di Jalan Klang-Banting, Sri Cheeding, Jenjarom dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata kesemua lelaki tersebut ditahan hasil penangkapan seorang pengedar dadah berusia 30an di kebun tersebut.

“Selepas ditangkap tokan dadah itu, polis kemudian menunggu para pelanggannya untuk datang ke kebun itu dan berhasil menangkap 28 lagi penagih, termasuk seorang warga Bangladesh pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan menunjukkan kesemua suspek yang menganggur termasuk tokan dadah itu positif dadah jenis opiate (candu), dan hasil semakan polis mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Selain itu katanya polis turut merampas dadah seberat 25.4 gram bernilai RM500 dan wang tunai RM350 yang merupakan wang hasil dari jualan dadah.

Beliau berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun kini ditahan reman selama empat hingga tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Sementara itu, katanya pada Selasa lepas polis Kuala Langat telah menahan lima suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan pecah rumah yang aktif melakukan jenayah tersebut sejak tiga bulan lalu.

“Pihak polis percaya dengan penangkapan kesemua suspek berusia 18 hingga 30 tahun, kita telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun dan 10 kes pecah rumah di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah kini direman selama enam hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)