Orang ramai pilih tengok ceramah dalam talian, bukan kurang sambutan – Chow
GEORGE TOWN, (Bernama) — Jumlah pengunjung ke ceramah Pakatan Harapan (PH) di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang semalam yang rendah, bukan disebabkan kurang sokongan terhadap PH sebaliknya orang ramai memilih menonton ceramah itu secara dalam talian.
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata ceramah berkenaan semalam, telah turut disiarkan secara dalam talian di media sosial seperti Facebook parti itu.
“Sekarang ni norma baharu, jadi mereka tukar kaedah mendengar ceramah dengan tengok di dalam talian…kita ada Facebook live, mungkin reach di situ (Facebook) lebih besar daripada fizikal.
“Tetapi kita perlu berusaha walaupun secara dalam talian, fizikal kita perlu capai sasaran orang ramai, lagi pun semalam baru hari pertama dan kita ada 13 hari lagi (kempen), melibatkan pelbagai bentuk aktiviti termasuk lebih penting lagi jelajah mesra,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar tular di media sosial, yang memaparkan banyak kerusi kosong berbanding orang ramai ketika ceramah PH itu, namun pemerhatian di Facebook DAP Pulau Pinang mendapati, ceramah tersebut ditonton lebih 16,700 pelayar laman sosial berkenaan.
Chow yang juga calon DUN Padang Kota pada PRN itu, turut menolak dakwaan kononnya mereka yang hadir pada ceramah tersebut, meninggalkan dewan tersebut ketika seorang pemimpin DAP berucap sebagai tanda protes, sebaliknya pengunjung bertindak sedemikian kerana malam semakin lewat.
Mengenai sambutan orang ramai terhadap kempen PH setakat ini, Chow berkata berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima, kempen secara tinjauan mesra dan bersemuka oleh calon-calon PH di negeri itu, diterima baik oleh pengundi.
“Saya hadir pada pembukaan pusat khidmat DUN Perai tadi dan saya dimaklumkan ketika tinjauan mesra calon (DAP) di pasar Taman Chai Leng, sambutan sangat bagus, malah semasa saya di Bayan Baru tadi turut mendapat sambutan yang baik…tapi kita tak nak over confident lah,” katanya.
— BERNAMA