P. Maniam senarai beberapa muka baharu dalam skuad 23 pemain

P. Maniam senarai beberapa muka baharu dalam skuad 23 pemain

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih skuad Bawah 15 (B-15) negara, P. Maniam menyenaraikan beberapa muka baharu dalam skuad 23 pemain ke pusingan kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, Vientiane, yang berlangsung dari 18-22 Sept ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara beberapa muka baharu yang disenaraikan Maniam ke Laos adalah penjaga gol skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-15, Muhammad Aizul Hakim Mohd Zabni; penyerang AMD B-14, Muhammad Akid Mohd Zamri; selain pemain tengah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Syafiq Haikal Bahtiar.

Mereka merupakan beberapa pemain yang tidak beraksi sewaktu Malaysia muncul juara, Kejuaraan B-15 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Chonburi, Thailand pada awal bulan lepas.

Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan FAM itu menyaksikan Maniam menyenaraikan 19 pemain AMD B-15, untuk memperkuatkan skuad muda negara itu bagi menghadapi kejohanan di Laos.

Untuk rekod, skuad B-15 negara meraih dua kemenangan selesa iaitu 10-0 dan 4-0 ke atas skuad B-15 Mongolia pada dua aksi pemanas di Shah Alam pada minggu lepas.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J, akan membuka kempen kelayakan menentang Kemboja pada 18 Sept, Laos (20 Sept), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Jepun pada 22 Sept ini.

Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Laos.

Berdasarkan format kejohanan, 11 pasukan terbaik dari Kumpulan A-K selain empat pasukan kedua terbaik, layak ke pusingan akhir.

AFC, bagaimanapun masih belum mengumumkan tuan rumah pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Senarai 23 pemain:

Penjaga Gol: Zulhilmi Sharani, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Faizal, Muhammad Aizul Hakim Mohd Zabni

Pemain Pertahanan: Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar, Adam Daniel Mohamad, Muhammad Kholil Ahmad Azian, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhammad Alif Farhan Fauzi, Ahmad Rozaini Abu Bakar, Muhamad Azrul Iman Muhamad Yusof

Pemain Tengah: Mohamad Ashraf Ahmad, Muhammad Adam Uwais Mohd Armi, Danish Irfan Ezal, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin, Muhammad Izrin Ibrahim, Syafiq Haikal Bahtiar (SSTMI B-15), Radzilah Helmi Roizat (SMK Ibrahim Fikri)

Penyerang: Mohamad Khairil Mohd Zain, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Muhammad Shahril Sobri, Zubaidi Mohd Buang, Muhammad Akid Mohd Zamri (AMD B-14), Muhammad Harry Danish Mohd Haizon (SSTMI B-15).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )