P. Pinang tidak lagi hadkan jumlah jemaah solat, bersandar jarakan sosial

GEORGE TOWN,. Pulau Pinang membenarkan solat fardu berjemaah, solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah bukan pesakit COVID-19 serta aktiviti kuliah disertai bilangan jemaah mengikut keluasan ruang solat masjid dan surau, mengambil kira jarakan sosial satu meter.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata bagi solat berjemaah, solat jenazah dan aktiviti kuliah, kebenaran itu berkuat kuasa esok, sementara solat Jumaat bermula 26 Jun ini dan solat sunat Aidiladha pada 31 Julai.

“Solat fardu berjemaah, Jumaat dan Hari Raya Aidiladha ini terbuka kepada ahli kariah dan orang awam yang berusia 15 hingga 70 tahun sahaja. Jemaah berusia 71 tahun ke atas yang sihat boleh hadir solat, tetapi tidak digalakkan, sementara yang berusia 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata kebenaran diberi kepada jemaah yang tidak bergejala COVID-19 seperti demam, batuk dan selesema manakala mereka yang berisiko tinggi dan mudah mendapat jangkitan penyakit seperti warga emas, penghidap penyakit asma dan kronik tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

“Bagi solat jenazah bukan pesakit COVID-19, kebenaran hanya untuk ahli keluarga si mati dan ahli kariah manakala bagi solat Jumaat mestilah tidak kurang 40 jemaah yang memenuhi syarat wajib Jumaat serta mereka berstatus warganegara Malaysia dalam kalangan ahli kariah dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata kuliah atau ceramah dibenarkan selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu solat fardu Isyak setiap hari, manakala kuliah atau ceramah selepas solat fardu Subuh serta solat Asar hanya dibenarkan setiap Sabtu dan Ahad, terhad kepada 20 minit.

Katanya ruang musafir khas dibenarkan untuk masjid atau surau bermula 6 pagi hingga 9.30 malam.

Ahmad Zakiyuddin berkata ibadat korban juga turut dibenarkan namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Semua keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan oleh semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan negeri, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )