PAC Adakan Pendengaran Awam Berhubung Kenaikan Premium Insurans

PAC Adakan Pendengaran Awam Berhubung Kenaikan Premium Insurans

KUALA LUMPUR, 7 Feb 2025 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi menyiasat kenaikan premium insurans kesihatan dan takaful, caj hospital swasta, serta kesannya terhadap sistem kesihatan awam.

Menurut kenyataan PAC hari ini, sesi pertama akan berlangsung pada 14 Februari di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul, Pulau Pinang, dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. Sesi kedua pula dijadualkan pada 21 Februari di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia, pada waktu yang sama.

PAC menjelaskan bahawa sesi ini diadakan susulan aduan orang ramai mengenai peningkatan harga yang tidak terkawal dalam sektor kesihatan swasta dan premium insurans.

“Melalui sesi ini, kami akan mendengar pandangan pelbagai pihak secara terbuka. Hasil perbincangan ini akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen,” menurut kenyataan itu.

PAC turut menyambut baik langkah interim kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengehadkan kenaikan premium insurans. Namun, jawatankuasa itu menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu dirangka bagi menangani isu ini secara menyeluruh.

Sehubungan itu, PAC bercadang untuk membantu kerajaan dalam merangka Private Healthcare Reform melalui sesi prosiding yang komprehensif. Sesi ini akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengguna, syarikat insurans, hospital swasta, doktor pakar, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PAC juga akan mengadakan prosiding secara tertutup selepas sesi pendengaran awam ini, mengikut Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jemputan Kepada Orang Awam
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pendengaran awam ini, termasuk pemegang polisi insurans, pesakit hospital swasta, persatuan pengguna, serta pekerja sektor perubatan, boleh mendaftar melalui pautan: https://parlimenmalaysia.info/kehadiranpesertapublichearing.

Pada tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kenaikan premium insurans antara 40 hingga 70 peratus masih dalam proses rundingan. Laporan penuh daripada BNM dijangka dimuktamadkan selepas sesi rundingan bersama syarikat insurans, pengendali takaful, dan pihak berkepentingan lain.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )