Padah jual pelitup muka mahal, dikompaun RM2,000
IPOH,. Sebuah premis perniagaan di Sibilin sini dikenakan kompaun RM2,000 gara-gara menjual pelitup muka jenis N95 pada harga RM14 seunit, harga yang lebih sekali ganda mahal berbanding harga kawalan yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, V. Ravichandran berkata sepasukan empat pegawai bergegas untuk memeriksa premis berkenaan pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi sejurus selepas pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu.
“Hasil siasatan, kami mendapati premis ini menjual pelitup muka N95 pada harga RM14 berbanding harga kawalan RM6,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Sehubungan itu, premis berkenaan telah dikenakan kompaun RM2,000 kerana peniaga gagal mematuhi syarat dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 atas kesalahan menjual barangan harga terkawal tanpa mengikut harga yang ditentukan.
Katanya sebagai rekod, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Perak telah menerima 703 aduan dan memeriksa 31,344 premis perniagaan berhubung pelbagai kesalahan mengenai urus niaga, yang membawa kepada tindakan terhadap 429 kes, melibatkan jumlah kompaun RM108,150 serta denda RM45,000.
— BERNAMA