
Pak Wan nyata intai jawatan timbalan Presiden
SHAH ALAM – Biarpun tarikh sebenar pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum ditetapkan, namun bahangnya semakin hangat apabila ramai pemimpin sudah memberi bayangan untuk merebut jawatan tertinggi atau Top 5 dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Antara pemimpin yang sudah mengesahkan diri lebih awal ialah mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja yang sudah mengumumkan bakal mempertahankan kerusi timbalan presiden Bersatu.
Bagi jawatan presiden pula, kenyataan terkini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus kekal diangkat sebagai calon Perdana Menteri, jelas memberi isyarat khidmat Ahli Parlimen Pagoh itu masih diperlukan untuk menerajui parti berkenaan.
Beberapa penganalisis politik tempatan turut berpandangan Bersatu masih memerlukan Muhyiddin sebagai presiden parti, lebih-lebih lagi pada saat Pas agak agresif mempromosikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku calon Perdana Menteri daripada parti itu secara tidak langsung.
Selain Peja, ramai menjangkakan jawatan timbalan presiden pada kali ini akan turut ditandingi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin − individu yang disebut-sebut sebagai pencatur di belakang tabir di sebalik kebangkitan PN dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Seorang lagi nama besar yang disebut-sebut bakal mencuba nasib bagi jawatan itu ialah Mohamed Azmin sendiri, bagaimanapun timbul tanda tanya sama ada beliau bakal diberi kelonggaran bertanding pada pemilihan Bersatu tahun ini.
Sekiranya jawatankuasa MPT Bersatu tidak bersetuju melonggarkan syarat itu, Ketua Bersatu Selangor itu berisiko tidak dibenarkan bertanding jawatan Top 5 disebabkan beliau baru memegang jawatan ahli MPT selama sepenggal.
Di tengah-tengah jangkaan persaingan tiga penjuru antara Peja-Hamzah-Azmin, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof atau lebih dikenali Pak Wan membuat kejutan.
Bercakap secara eksklusif kepada Sinar Premium, Ahli MPT Bersatu itu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, empat tahun selepas dipaksa menarik diri daripada bersaing jawatan sama semasa pemilihan Bersatu tahun 2020.
Jelas Pak Wan, beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu kerana mahu membantu Muhyiddin memulihkan kembali imej dan menarik minat rakyat terutama generasi muda dan masyarakat Melayu menyertai parti berkenaan.
“Tiada masalah untuk saya bertanding jawatan timbalan presiden pada kali ini kerana saya sudah lepasi syarat minimum berkhidmat selama dua penggal dipilih selaku Ahli MPT Bersatu dan pernah pegang pelbagai jawatan lain termasuk menteri Kabinet,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu turut menegaskan hasrat itu akan benar-benar diteruskan beliau sekiranya mendapat sokongan padu pucuk kepimpinan dan akar umbi Bersatu kelak.
Pada masa sama, Mohd Redzuan turut mendedahkan keputusan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan Bersatu tahun 2020 disebabkan ada pihak menyebarkan maklumat kononnya Peja merupakan calon dalam kalangan chai (senarai pilihan) Muhyiddin.
“Apabila dengar ada orang kata Peja calon pilihan presiden maka saya terus tarik pencalonan demi menjaga keharmonian dan menghormati keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Namun selepas pemilihan tamat saya dapati dakwaan itu palsu. Ini kerana presiden difahamkan tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian dan perkara berkenaan diakui sendiri oleh pihak terbabit yang mewujudkan senarai chai berkenaan.
“Ini bukti jelas menunjukkan terdapat rancangan pihak tertentu cuba mengatur parti agar orang-orang asal seperti saya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan penting parti ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mengesahkan beliau bakal bertanding jawatan ahli MPT pada pemilihan kali ini disebabkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan sayap Pemuda parti itu berikutan sudah melepasi had umur.
Pada saat ini, jawatan utama Bersatu masih disandang Muhyiddin dan Ahmad Faizal selaku presiden dan timbalan presiden parti.
Bagi jawatan naib presiden pula, dua daripadanya disandang oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Satu lagi kerusi naib presiden yang sepatutnya disandang bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebelum ini, masih kosong setelah Mohd Rafiq memutuskan untuk keluar parti.
-Sinar Harian