Pakej PRIHATIN bantu PKS teruskan perniagaan

SEREMBAN, 29 Mac – Perniagaan yang tidak beroperasi, tiada pusingan modal berikutan ketiadaan untung serta tanggungan gaji pekerja dan sewa premis, sudah cukup untuk membolehkan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) ‘gulung tikar’ berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Bagaimana pun, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas yang meliputi pelbagai bantuan untuk usahawan PKS, membolehkan kalangan peniaga itu menarik nafas lega kerana berupaya meneruskan semula ‘hayat’ perniagaan mereka.

Pakej berjumlah RM250 billion itu turut melibatkan Bantuan Khas berjumlah RM3 bilion bagi membantu PKS selain langkah memperluaskan moratorium merangkumi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020.

Malah, beberapa peniaga yang ditemui Bernama menyifatkan pakej itu sebagai berita yang dinantikan dan membantu meleraikan kekusutan yang dihadapi mereka.

Pengusaha syarikat perkhidmatan papan tanda dan percetakan Muhamad Zul Affendi Satiman, 36, berkata beliau kini terpaksa menanggung bebanan dari segi kos gaji pekerja seramai lima orang sebanyak RM13,000, sewa kedai RM1,300 serta pinjaman perniagaan MARA sebanyak RM4,600.

Lebih buntu lagi, tiada keuntungan dapat dijana memandangkan perniagaannya tidak dapat beroperasi pada masa ini.

Namun, pakej PRIHATIN itu akan membolehkan Muhamad Zul Affendi menikmati moratorium bagi pinjaman MARA kepada PKS yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2020.

“Secara peribadi, bantuan diumumkan Perdana Menteri ini amat membantu di saat sukar begini. Menerusi moratorium ini, duit yang sepatutnya untuk bayar balik pinjaman MARA, dapat saya jadikan modal serta membayar gaji pekerja sepanjang tempoh syarikat tidak beroperasi,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi pengusaha kedai telefon bimbit dan aksesori, Norhakimi Ishak, 35, menyifatkan penangguhan bayaran pinjaman MARA itu dapat membantunya membayar gaji pekerja.

“Pinjaman MARA yang perlu saya bayar setiap bulan lebih RM5,000 dan saya perlu tampung gaji pekerja  seramai 12 orang,” katanya.

Sementara itu, Mahani Debeng, 55, yang merupakan peniaga makanan kudapan bahulu dan kerepek di Pendang, Kedah, menyifatkan pakej PRIHATIN itu sebagai berita baik yang amat ditunggu-tunggu.

Beliau sendiri berasa lega kerana tidak lagi perlu bimbangkan bayaran balik pembiayaan mikronya dari Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Apabila saya dapat tahu kerajaan sebut mengenai peniaga dan PKS ini, saya rasa amat bersyukur. Maksudnya kalau selepas ini jika hadapi masalah kewangan terhad atau tidak boleh buat pusingan modal, sekurang-kurangnya saya ada tempat untuk mencari dana,” katanya.

Sebelum PKP dilaksanakan, Mahani berupaya meraih pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 sehari.

Dalam pakej PRIHATIN itu, kerajaan turut menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )