Pakej tumpu penggunaan kenderaan roda tiga bagi pertingkat khidmat kurier – MCMC

KUALA LUMPUR,. Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menumpukan aspek penggunaan kenderaan roda tiga sebagai antara kaedah pengangkutan bagi mempertingkat kecekapan serta kualiti perkhidmatan kurier.

Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kenderaan roda tiga tersebut mempunyai kapasiti mengangkut bungkusan penghantaran sebanyak tiga kali ganda berbanding motosikal serta separuh daripada kapasiti van biasa.

“Malah, dari segi kos pula kenderaan roda tiga ini melibatkan anggaran antara operasi menggunakan motosikal dan sebuah van serta mampu mengangkut lebih banyak bungkusan berbanding motosikal, terutama ke kawasan luar bandar,” katanya dalam satu temu bual khas mengenai PAKEJ, baru-baru ini.

Menurut Fadhlullah Suhaimi, banyak negara-negara lain seperti United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura telah melaksanakan pendekatan sama menerusi penggunaan kenderaan elektrik roda tiga.

“Cabarannya pada masa ini adalah untuk mendapatkan kelulusan pihak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan keselamatan penyedia perkhidmatan kurier dan pengguna jalan raya terus terjamin.

“Usaha perbincangan mengenainya telah bermula dan sedang dijalankan. Kita juga berharap tempoh bagi kelulusan penggunaan kenderaan roda tiga sebagai kaedah pengangkutan khidmat kurier tidak memerlukan masa yang lama,” katanya.

PAKEJ merupakan pelan tindakan lima tahun yang dilancarkan pada Jun, 2021 dan bertujuan mempertingkat kualiti perkhidmatan kurier (QoS) dan kelancaran liputan bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang kepada 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Usaha itu menggariskan lapan inisiatif berdasarkan dua teras utama iaitu mencapai kelestarian industri dan menyediakan QoS serta pertumbuhan yang disokong oleh liputan bagi pengguna.

“PAKEJ adalah antara cara untuk membantu syarikat-syarikat kurier kecil bersaing dalam persekitaran lebih baik, mempunyai keupayaan berkembang pada kos lebih rendah serta mengekalkan harga perkhidmatan tersebut,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata, MCMC akan membentangkan laporan PAKEJ bagi setiap suku tahun dengan laporan pertama dijadualkan bagi penelitian orang ramai menjelang bulan depan.

“Laporan itu akan meliputi semua perkembangan terkini mengenai lapan inisiatif yang telah digariskan di bawah PAKEJ dan kita berharap untuk menerima sebanyak mungkin maklum balas pengguna serta kalangan penggiat industri yang berperanan dalam perkembangan ekosistem terbabit,” katanya.

Selain itu, Fadhlullah Suhaimi berkata setakat tahun ini, MCMC telah menerima lebih daripada 13,000 aduan pengguna mengenai perkhidmatan kurier dengan 86 peratus membabitkan aspek perkhidmatan penyedia yang kurang memuaskan.

“Sebagai perbandingan, bagi tempoh sepanjang 2020, kami menerima sebanyak 13,000 aduan. Namun, (bagi tahun ini) setakat Ogos dan hampir ke suku ketiga 2021, kita telah menerima jumlah aduan yang menyamai angka pada tahun lepas.

“Atas alasan inilah PAKEJ disediakan supaya kita dapat bekerjasama dengan pihak industri untuk mempertingkat perkhidmatan selain berharap dapat menyaksikan impaknya mulai tahun depan dan tempoh berikutnya,” kata beliau.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )