Paras air di dua empangan utama Pulau Pinang catat kapasiti efektif rendah

Paras air di dua empangan utama Pulau Pinang catat kapasiti efektif rendah

GEORGE TOWN,. Paras air di dua empangan utama di Pulau Pinang – Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang – berada jauh lebih rendah daripada kapasiti efektif biasa, disebabkan oleh musim kemarau yang melanda negeri ini ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata sehingga semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masing berada pada paras 62 peratus dan 39.5 peratus yang disifatkan sebagai rekod terburuk.

Beliau berkata kapasiti efektif di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sehingga semalam menunjukkan paras air yang paling rendah berbanding tempoh sama tiga tahun lepas.

“Pada 14 Jan 2017, Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti efektif pada paras 99.4 peratus, 2018 (97.5 peratus) dan 2019 (88.7 peratus). Empangan Teluk Bahang pula mencatatkan kapasiti efektif 100 peratus pada 14 Jan 2017, 2018 (98.6 peratus) dan 2019 (81.4 peratus).

“Hujan yang kurang untuk empat bulan lepas berikutan perubahan iklim dikenal pasti sebagai faktor utama,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jaseni berkata dalam tempoh September hingga Disember 2019, jumlah hujan yang direkodkan di Empangan Air Itam adalah 702 milimeter (mm), bersamaan dengan 44.5 peratus daripada purata tiga tahun iaitu 1,577 mm yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2016 hingga 2018.

Menurutnya, jumlah hujan yang direkodkan di Empangan Teluk Bahang untuk tempoh sama pula sebanyak 1,732 mm, bersamaan dengan 55.9 peratus daripada purata tiga tahun iaitu 3,101 mm yang dicatatkan dalam tempoh sama bagi 2016 hingga 2018.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan kapasiti sedia ada mampu bertahan sehingga bermulanya musim hujan pada April atau Mei ini.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk melakukan pembenihan awan, Jaseni berkata PBAPP akan menasihatkan kerajaan negeri untuk memohon melakukan pembenihan awan sekiranya paras air di kedua-dua empangan itu berada pada tahap kritikal iaitu 30 peratus.

Justeru, beliau memohon kerjasama dan sokongan rakyat di negeri ini untuk menggunakan air secara berhemah terutamanya pada musim kemarau dengan mengurangkan kekerapan mencuci kereta atau motosikal, mengelakkan penggunaan hos untuk menyiram kebun atau pokok setiap hari dan menutup semua paip selepas digunakan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina untuk mengelakkan penggunaan hos bagi membersihkan rumah sebaliknya menggunakan penyapu dan mop.

“Ini adalah rayuan penting kepada rakyat Pulau Pinang. Kita memerlukan kerjasama dan sokongan anda untuk memastikan tiada catuan air di Pulau Pinang ketika musim kemarau ini,” tegasnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )