Paras air naik mendadak, penduduk jangka banjir paling buruk

Paras air naik mendadak, penduduk jangka banjir paling buruk

KEMAMAN,. Kira-kira 100 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Padang Kubu selepas hujan lebat berterusan di sini.

Kejadian disifatkan paling buruk apabila paras air naik mendadak akibat limpahan air dari Sungai Tebak .

Menurut mangsa, mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara kira kira jam 7 petang Ahad.

“Hujan sejak dari pagi walaupun sekejap tetapi hujan turun lebat mengakibatkan air naik dengan cepat.

“Kami terus berpindah ke dewan dan tidak tahu bagaimana keadaan di rumah,” kata seorang peniaga, Azirah Mohd Daud.

Sementara itu, seorang pekerja kilang sawit, Mohammad Fazul Shafiq mengakui keadaan air deras berbanding kejadian banjir sebelum ini.

“Kali ini air laju sedikit berbanding sebelum ini. Dalam masa setengah jam sahaja air sudah naik dan hujan tidak berhenti dari petang semalam (Sabtu) lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Kubu, Harun Ismail berkata, pihaknya membuat persediaan rapi berikutan jumlah mangsa dijangka meningkat .

“Banjir yang berlaku di sini lebih buruk berbanding sebelum ini. Dalam pukul 12 tengah hari air naik dengan cepat dan kalau melihat kepada keadaan cuaca memang bertambah buruk,” katanya.

Menurut Harun, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )