PAS akan pecat ahli, pemimpin langgar nilai moral – Abdul Hadi

PAS akan pecat ahli, pemimpin langgar nilai moral – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR,. PAS mementingkan nilai moral yang tinggi dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu dan jika ada yang melanggarnya serta melakukan tindakan yang bercanggah dengan Islam maka mereka boleh dipecat, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral maka akan kita pecat dia.

“Dalam PAS, (kesalahan) yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu, kita serah kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata biarpun baru berusia enam bulan, pencapaian kerajaan PN adalah lebih baik dan positif berbanding era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata perbezaan jelas dapat dilihat dalam kalangan menteri PN dan PH.

“Banyak perbezaan yang boleh ditunjukkan. Kalau dahulu ketika PH, menteri-menterinya asyik sebut kerajaan dahulu dan apabila kita ambil alih (kerajaan), perbezaannya amat positif.

“Kewujudan PN sendiri adalah pencapaian terbaik yang mana kita berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dukungan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)