PAS tidak bertanding PRN Sabah adalah strategi politik – Tuan Ibrahim

PAS tidak bertanding PRN Sabah adalah strategi politik – Tuan Ibrahim

KOTA BHARU,. Ketiadaan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah strategi politik selain memperkukuhkan lagi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengakui ada yang berasa kecewa kerana PAS tidak bertanding pada PRN itu, beliau berkata keseluruhannya pemimpin serta ahli PAS Sabah akur dengan keputusan pucuk pimpinan untuk memberi laluan kepada parti sekutu bertanding.

“… kita nak elak perangkap yang dipasang musuh (politik), kerana kalau kita turut bertanding akan timbul pertembungan sesama sendiri. Natijahnya ialah kerugian kepada muafakat,” katanya yang ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa, dekat sini, hari ini.

PAS sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi pada PRN Sabah.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu menghormati keputusan rakan-rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di kesemua 73 kerusi selepas rundingan dimuktamadkan.

Hari ini berlangsung penamaan calon bagi PRN itu sementara pengundian untuk pengundi biasa ditetapkan pada 26 Sept ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)