Pasaran e-dagang Malaysia diunjur cecah US$11 bilion pada 2025
CYBERJAYA,. Pasaran e-dagang Malaysia dijangka mencecah US$11 bilion (RM45.8 bilion) (US$1=RM4.15) pada 2025, dianggarkan meningkat 24 peratus setahun, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad.
Memetik laporan dari e-Conomy South East Asia 2019 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, beliau berkata e-dagang Malaysia telah meningkat tiga kali ganda sejak 2015 dan melebihi US$3 bilion tahun ini.
Mengikut trend itu, Suriani berkata ia memerlukan KKMM mewujudkan satu wawasan baharu dan rancangan strategik untuk industri perkhidmatan pos dan kurier, berpandukan kepada pelan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia, yang akan menyediakan “caj turbo” untuk memacu pembangunan ekonomi negara.
“Kemajuan e-dagang rentas sempadan memanfaatkan pengguna, perusahaan kecil dan sederhana, perniagaan besar dan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada majlis ‘e-commerce Delivery Awards 2019’, di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Suriani berkata KKMM komited dalam menyokong kemajuan menerusi inisiatif seperti perkongsian dengan pemain-pemain pembolehan e-dagang antarabangsa bersepadu untuk mempercepatkan penggunaan e-dagang dan mendorong e-dagang rentas sempadan dikalangan perniagaan Malaysia.
Ini, katanya dengan tujuan untuk menggandakan kadar pertumbuhan e-dagang Malaysia dengan mencapai sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$69.1 bilion menjelang 2020.
Suriani berkata 5G akan mengubah pengalaman pengguna e-dagang, memudahkan pembelian segera di mana-mana sahaja serta membuat pembelian dalam talian lebih pantas dan lebih mudah.
“Ia juga akan mengubah cara orang ramai berhubung dengan produk dan perkhidmatan dalam talian, kerana perniagaan menggunakan teknologi untuk meningkatkan fungsi pemasaran dan sokongan mereka, serta mewujudkan peluang jualan baharu,” katanya.
Beliau berkata untuk menyesuaikan diri dan bersaing dengan berkesan dalam ekonomi global sekarang ini, pemain industri pos dan kurier perlu mengguna strategi pertumbuhan yang berbeza.
“Mereka mesti membina keupayaan perniagaan yang kuat dan rangkaian serantau dan antarabangsa yang luas untuk merebut peluang pertumbuhan.
“Ia penting, memandangkan pendigitalan ekonomi global dengan peningkatan penggunaan platform e-dagang membolehkan syarikat termasuk syarikat kecil mengakses pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Al-Ishsal berkata SKMM telah meluluskan penubuhan Forum Pos untuk melihat apa-apa perkara berkaitan dengan kepentingan pengguna dan industri.
Beliau berkata forum itu akan ditadbir oleh Persatuan Syarikat-Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) sebagai sekretariat.
Acara tahunan dianjurkan oleh SKMM itu adalah untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang peserta industri pos dan kurier. Sebanyak 11 penerima menerima anugerah yang menunjukkan prestasi tinggi dan kecemerlangan dalam bidang inovasi, tanggungjawab sosial korporat, perkhidmatan pelanggan dan prestasi penghantaran.
Tahun ini, kategori baharu diperkenalkan “Anugerah Peningkatan Terbaik” untuk mengiktiraf pemain industri yang telah mencapai peningkatan tertinggi berbanding prestasi mereka pada tahun sebelumnya.
— BERNAMA