Pasaran getah dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam julat kecil dengan menjurus kepada trend menaik minggu depan, didorong oleh permintaan yang semakin baik berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat di seluruh dunia, kata bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low.

Beliau berkata sektor ekonomi utama kini telah memulakan program pemulihan perniagaan masing-masing dan ini boleh menjadi pendorong kepada semua komoditi termasuk getah, katanya kepada Bernama.

Sementara itu untuk minggu yang baru berakhir, seorang peniaga berkata pasaran getah tempatan telah pulih berbanding minggu sebelumnya selepas peniaga China kembali daripada cuti selama seminggu.

Beliau berkata trend menaik ini turut dipacu oleh data ekonomi yang memberangsangkan dari China walaupun terdapat trend bercampur-campur di kedua-dua penanda aras pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah.

Jangkaan data pekerjaan Amerika Syarikat yang positif, menyarankan bahawa pemulihan ekonomi kian meningkat turut memberikan kelegaan kepada pasaran.

Berdasarkan perbandingan mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 meningkat 23.5 sen kepada 712.5 sen sekilogram (kg) sementara lateks pukal mengukuh tiga sen kepada 506 sen sekg.

Pada 5 petang urus niaga Jumaat, harga penutupan LGM untuk SMR 20 ialah 702.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 506 sen sekg.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )