Pasaran getah dijangka kekal turun naik minggu depan susulan situasi tidak menentu

Pasaran getah dijangka kekal turun naik minggu depan susulan situasi tidak menentu

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangkakan turun naik minggu depan dengan lebih banyak situasi tidak menentu dilihat pada masa ini.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata perang Rusia dan Ukraine yang sedang berlaku telah memberikan impak negatif kepada perniagaan.

“Terdapat persoalan besar timbul iaitu bagaimana Eropah dan negara-negara lain akan bergelut antara satu dengan lain terhadap sekatan yang akan dikenakan ke atas Rusia.

“Ternyata, dengan menjejaskan Rusia, Eropah dan yang lain, ia mungkin akan turut memberi kesan tidak baik kepada mereka sendiri memandangkan sekatan bererti berhenti menjalankan perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, berikutan musim daun getah luruh yang sedang berlaku dan hujan sekali-sekala dijangka turun di kebanyakan wilayah pengeluar getah, aktiviti pengumpulan stok atau mengelakkan pembelian yang terlalu banyak ekoran ketidakpastian di Eropah, boleh mewujudkan ketidakstabilan.

“Oleh itu, harga sewajarnya akan kekal dalam jajaran kecil terbaik, manakala permintaan masih tidak dapat diramal berikutan situasi global semasa, kecuali bagi aktiviti penyimpanan stok. Perang ini dijangka menjejaskan seluruh dunia apabila sekatan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, menambahkan lagi kepada ketidakpastian itu adalah harga minyak mentah yang telah mencapai paras US$107 setong, selain turun naik dolar AS yang mungkin meningkat atau merosot mendadak akibat sekatan yang dipertimbangkan kepada Rusia.

Seorang lagi peniaga berkata, harga getah dijangka dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, ringgit dan penanda aras harga minyak mentah pada minggu depan.

“Pengendali pasaran juga akan terus memantau perkembangan mengenai perjanjian nuklear 2015 Iran, perang Rusia-Ukraine dan respons negara-negara Kumpulan 7 terhadap krisis ini,” katanya.

Bagi perbandingan mingguan, harga fizikal rujukan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia (SMR) 20 merosot 24 sen kepada 726.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun lima sen kepada 709.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 726.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 710.0 sen sekilogram. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)