
Pasaran getah dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu depan
KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan kebimbangan terhadap prospek pasaran komoditi global, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pengendali pasaran juga dijangka terus menilai impak daripada permulaan kitaran kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) daripada minggu lepas.
Meskipun prospek baik getah asli bagi 2022 dan data pembuatan AS yang positif, beliau berkata pemain industri masih kekal berhati-hati dengan kemajuan rundingan keamanan Ukraine-Rusia yang sedang berlangsung sekarang.
Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) melaporkan prospek global bagi pasaran getah asli diunjurkan kekal positif tahun ini.
Ia berkata pengeluaran dunia dijangka berkembang sebanyak 1.9 peratus atau 14.107 juta tan metrik manakala penggunaan dunia diunjur meningkat sederhana pada 1.2 peratus atau 4.232 juta tan metrik pada 2022.
Bagaimanapun, ANRPC berkata bekalan dijangka terjejas teruk akibat daripada perubahan iklim yang ketara, kekurangan tenaga kerja di negara-negara pengeluar getah asli berikutan peningkatan semula kes akibat varian Omicron COVID-19 di seluruh dunia dan di luar musim penorehan ketika ini yang akan memburukkan lagi kekurangan bekalan pada bulan-bulan akan datang.
Bagi asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun 24.0 sen kepada 710.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 19.5 sen kepada 670.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 711.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 670.0 sen sekilogram.
— BERNAMA