Pasaran getah diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Pasaran getah diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil tetapi ke arah kenaikan pada minggu hadapan.

Bekas Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low menjelaskan permintaan dan harga sewajarnya kekal stabil memandangkan, semakin banyak industri khususnya di peringkat antarabangsa yang telah memulakan program pemulihan ekonomi.

“Pasaran getah dijangka menyaksikan beberapa aktiviti penstokan. Keadaan cuaca yang tidak menentu di kebanyakan negara pengeluar getah menyebabkan pembeli bersikap agak berhati-hati dan membuat stok simpanan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun kedatangan musim hujan masih jauh, negara-negara pengeluar sudah menyaksikan hujan lebat secara berkala walaupun pada hari-hari yang sepatutnya kering, oleh itu pembeli lebih ke arah membuat pembelian bagi simpanan.

China mendahului negara lain apabila membeli lebih banyak getah kering pada minggu dan bulan-bulan akan datang.

“Bagi lateks pukal, kami juga akan melihat permintaan yang berterusan daripada industri sarung tangan getah, walaupun pada tahap kuantiti yang lebih rendah disebabkan terpaksa beroperasi pada kapasiti 60 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kini terdapat keseimbangan yang baik untuk pengeluar dan pengguna selepas persekitaran penawaran dan permintaan adalah agak memberangsangkan bagi kedua-dua pihak. Oleh itu, kami tidak mengharapkan turun naik permintaan dan harga pada minggu-minggu akan datang kerana kami tidak menjangkakan sebarang lonjakan yang dinamik dalam penawaran serta permintaan,” tambah Low lagi.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan ditutup lebih tinggi tetapi berakhir dengan lebih rendah untuk sepanjang minggu ini selepas dipengaruhi oleh pelbagai impak daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, pergerakan ringgit dan COVID-19.

Secara mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk SMR 20 turun 46 sen kepada 679.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 11.0 sen kepada 519.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 678.0 sen sekilogram sementara lateks pukal adalah 519.5 sen sekilogram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )