Pasaran modal Malaysia kekal teratur, mudah tunai lebih daripada mencukupi – SC
KUALA LUMPUR, 16 April — Pasaran modal Malaysia kekal teratur dengan mudah tunai lebih daripada mencukupi serta infrastruktur yang kukuh walaupun menghadapi krisis kesihatan COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, walaupun mencerminkan pasaran global yang mencatatkan penurunan ketara, namun pasaran ekuiti Malaysia menunjukkan prestasi yang agak lebih baik.
“Penjualan asing telah disokong oleh penyertaan aktif institusi tempatan dan pelabur runcit,” katanya semasa sidang media mengenai Laporan Tahunan 2019 SC yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata pasaran bon domestik telah mengalami turun naik bagaimanapun ia terus mencatatkan prestasi agak lebih baik berbanding pasaran serantau, disokong oleh dana mudah tunai domestik yang kukuh dalam industri pengurusan.
“Terdapat peningkatan penebusan pada Mac. Pengurus dana berlesen kita bersedia menguruskannya secara teratur dan menjadikan tidak ada risiko besar yang diperhatikan setakat ini, malah kita menyaksikan adanya pelaburan baharu khususnya ke dalam unit amanah.
“Bank pelaburan dan broker kita juga kekal kukuh untuk mengurangkan turun naik itu, terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka hari ini lebih teguh berbanding 10 tahun lepas, hasil penetapan keperluan dan pemantauan yang cermat oleh SC terhadap perantara,” katanya.
Syed Zaid berkata langkah yang diambil kerajaan dan pengawal selia akan mengurangkan kesan akibat COVID-19 tetapi sukar untuk memastikan sejauh mana hasilnya sehingga kesan penuh daripada wabak muncul.
Kepelbagaian yang besar dan proses pengurusan mudah tunai oleh pengurus dana telah mengurangkan risiko penurunan, katanya.
Beliau berkata SC kini menumpukan syarikat dan perantara untuk membolehkan mereka bertahan sepanjang tempoh ini selain mengambil peluang pemulihan apabila sampai masanya.
Sementara itu bagi industri unit amanah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata industri itu kekal agak stabil walaupun menghadapi persekitaran mencabar.
Beliau berkata berdasarkan data awal, keseluruhan nilai aset bersih unit amanah turun 4.0 hingga 5.0 peratus sejak akhir Februari, terutama disebabkan oleh pergerakan pasaran, khususnya apabila harga pasaran yang lebih rendah memberi kesan ke atas dana ekuiti.
“Selain itu berlaku penebusan yang agak lebih tinggi pada separuh pertama Mac, begitu juga pada minggu pertama PKP. Kami juga mendapati aktiviti penebusan menjadi sederhana kemudiannya pada minggu pertama April dengan industri merekodkan kedudukan jualan bersih.
“Kami juga menyaksikan penebusan dalam pertukaran dana ekuiti kepada dana lain. Ini bererti sebahagian hasil itu tetap dilaburkan dalam industri daripada dikeluarkan untuk mendapatkan tunai,” katanya.
Zainal Izlan berkata dalam hal itu, kedudukan mudah tunai bagi dana unit amanah kini disokong oleh langkah dan pengurusan risiko mudah tunai pengurus-pengurus dana.
Beliau berkata SC kerap melaksanakan libat urus dengan pengurus dana dan memantau rapat perkembangan tempatan dan serantau, termasuk kesan kontagion.
Ketua Pegawai Pengawalseliaan SC, Foo Lee Mei pula mengulas mengenai pembiayaan alternatif kepada syarikat bermodal kecil dan sederhana, dengan berkata pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) menjadi sumber utama bagi dana untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata sejak diwujudkan tiga tahun lepas, platform ECF dan P2P telah mengumpul lebih RM700 juta untuk 1,143 syarikat mikro, kecil dan sederhana.
“SC kini sedang menjalankan kajian daya maju untuk melihat bagaimana syarikat bermodal kecil dan sederhana ini, termasuk PKS, boleh menerbitkan instrumen hutang, selain daripada apa yang telah dibenarkan melalui ECF dan P2P,” katanya.
— BERNAMA