Pasaran saham dibuka tinggi

Pasaran saham dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi hari ini sekali gus menunjukkan prestasi pergerakan kukuh dalam keadaan sentimen pasaran yang positif.

Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.15 mata atau 0.07 peratus kepada 1,611.09 daripada 1,609.94 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 0.19 mata lebih tinggi kepada 1,610.13 pada pukul 9 pagi.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 245 berbanding 159 manakala 319 kaunter tidak berubah, 1, 274 kaunter tidak diniagakan dan 56 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 646.95 juta unit bernilai RM270.44 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI menunjukkan prestasi kukuh setelah pergerakannya memperoleh semula paras rintangan 1,600 semalam.

“Ia dijangka berterusan bagi jangka terdekat memandangkan pasaran kembali rancak didorong kenaikan yang dialami saham pembuat sarung tangan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata ringgit yang lebih kukuh, setelah didagangkan lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini, mungkin memberikan sedikit dorongan untuk kenaikan seterusnya.

Bagaimanapun, ia tetap mengingatkan bahawa keuntungan akan dihadkan oleh kelemahan prestasi semalaman di Wall Street manakala pelabur juga akan memantau perkembangan mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat selama dua hari sehingga 29 Julai.

Public Investment Bank Bhd pula secara teknikal menjangkakan indeks utama akan mencatatkan aliran tidak banyak berubah iaitu di antara paras 1,600 dengan 1, 610, dengan sedikit kecenderungan meningkat jika minat belian terhadap sektor penjagaan kesihatan berterusan.

“Paras sokongan untuk indeks utama itu ditetapkan pada 1,550, 1,580 dan 1,600, sementara paras rintangan pada 1,610, 1,622 dan 1,636,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.84, Top Glove meningkat dua sen kepada RM26.42, Public Bank dan Tenaga masing-masing menambah empat sen kepada RM17.56 dan RM11.32, sementara Hartalega turun empat sen kepada RM19.86.

Antara saham paling aktif, Key Alliance dan PA Resources masing-masing menokok satu sen kepada 11 sen dan lapan sen, XOX turun satu sen kepada 27 sen sementara Hubline dan AT Systematization masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen dan 9.5 sen.

Saham untung termasuk DKSH yang melonjak 41 sen kepada RM3.50, Takaful naik 38 sen kepada RM4.86, Rubberex menambah 27 sen kepada RM4.86, Bursa Malaysia menokok 16 sen kepada RM10.20, dan Poh Kong meningkat 12 sen kepada 90 sen .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.56 mata kepada 11,478.06, Indeks FBMT 100 menambah 13.06 mata kepada 11,315.82 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 19.50 mata kepada 13,467.69.

FBM 70 naik 36.46 mata kepada 14,615.34 dan FBM ACE meningkat 27.24 mata kepada 8,503.82.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 1.17 mata kepada 7,185.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.28 mata kepada 141.75 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 30.30 mata kepada 13,398.76.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )