Pasca PRU15: Ismail Sabri, Ka Siong nafi wujud pertemuan tertutup

Pasca PRU15: Ismail Sabri, Ka Siong nafi wujud pertemuan tertutup

SHAH ALAM : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong masing-masing menafikan terdapat pertemuan tertutup melibatkan pemimpin BN dan Pas di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, segala tindakannya kini disalah tafsir sehingga dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan daripada Pas manakala pihak yang bertemu dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang itu. Tengok senarai nama tu lima orang sahaja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ini nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan Pas (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” lapor Malaysiakini.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung perjumpaan diberi julukan ‘Langkah Tropicana’ yang turut disertakan dengan beberapa gambar ketika pertemuan tersebut.
Sepuluh pemimpin BN dan Pas didakwa terlibat dalam pertemuan tertutup itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat dalam pertemuan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan pada Jumaat, hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri, tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa beliau bersama Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu katanya, pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut difitnah bahawa beliau membuat gerakan untuk melawan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sekarang ini, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya turut melahirkan rasa kesal dengan fitnah kononnya beliau terlibat dalam mesyuarat tertutup berkenaan.
Bekas Menteri Pengangkutan itu juga menegaskan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan mana-mana wakil parti politik.

“MCA telah menyatakan pendirian jelas iaitu akur dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam masa sama turut menjelaskan situasi yang berlaku pada Jumaat. “Ya, pagi semalam (Jumaat) saya memang pergi ke Tropicana Golf Club atas jemputan dua orang usahawan untuk bersama-sama brunch dimsum di Chinese Restaurant, di kelab tersebut.

“Apabila tiba di Tropicana, saya terserempak dengan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersarapan di kafe sebelah dengan Chinese Restaurant. “Saya bertegur sapa dengan Perdana Menteri kesembilan sebelum dua orang rakan saya tiba. Apabila rakan-rakan saya tiba, saya terus masuk ke Chinese Restaurant,” ujarnya.

– Sinar Harian

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)