Pasukan Liga-M dilarang jalani latihan, perlawanan persahabatan

Pasukan Liga-M dilarang jalani latihan, perlawanan persahabatan

KUALA LUMPUR,. Kesemua pasukan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) diarah untuk tidak mengadakan sebarang sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemain asing yang beraksi dalam Liga-M juga tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri tidak dibenarkan masuk semula susulan sekatan kemasukan warga asing di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Oleh itu, MFL selaku badan pentadbir Liga-M berharap semua pasukan dapat mematuhi arahan tersebut dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

“Sebarang pemakluman terkini berhubung sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pasukan selaras dengan arahan kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji tindakan pantas MFL serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil keputusan menunda semua perlawanan Liga-M susulan penularan wabak COVID-19.

MFL dan FAM sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Reezal Merican di Menara KBS, Putrajaya hari ini.

Rombongan itu diketuai Presiden FAM merangkap Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL merangkap Naib Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan serta Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Kunjungan hormat itu bertujuan menjelaskan peranan dan fungsi MFL selain langkah proaktif MFL dan FAM dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)