Pasukan Petugas Khas Diwujudkan Bantu Artis Peroleh Simpanan Masa Depan

Pasukan Petugas Khas Diwujudkan Bantu Artis Peroleh Simpanan Masa Depan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan sebuah pasukan petugas khas bakal diwujudkan bagi menaiktaraf kebajikan penggiat seni di Malaysia menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Usaha ini dilakukan melihat kepada isu selebriti yang tidak mempunyai tabungan masa hadapan yang cukup sehingga ada yang dihalau keluar dari rumah kerana tidak mempunyai wang membayar sewa.

Satu kerjasama dan mesyuarat diadakan bersama-sama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan barisan penerbit filem untuk mencari pemudah cara yang paling bernas dalam menangani isu ini.

“Kami merancang mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mendapatkan caruman PERKESO agar kebajikan masa tua para artis terjamin. Ada aduan yang kami terima terdapat artis yang dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa.

“Bersama-sama FINAS, kami akan panggil penerbit filem untuk berbincang jalan terbaik agar artis kita mempunyai simpanan di masa hadapan terutamanya untuk para pelakon,” katanya ketika ditemui Getaran baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, menteri itu turut menjelaskan pasukan petugas khas ini bertanggungjawab mengendalikan kebajikan penggiat seni dengan lebih sistematik bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan seperti yang terjadi di beberapa persatuan artis sebelum ini.

“Penyanyi pun artis juga cuma sebelum ini mereka diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan persatuan yang dikelola sesama artis. Namun masalah timbul jika artis sendiri yang uruskan melalui persatuan sehingga menimbulkan pergaduhan.

“Pernah ada kes di mana penyanyi mempunyai wang sehingga 40 juta ringgit. Namun kerana pertelingkahan membuatkan duit tersebut habis.

“Penyanyi kita hebat menghiburkan orang namun sayang mereka tiada duit untuk masa depan. Maka, kementerian akan ambil perhatian dan bantu,” tambahnya lagi.

Mengambil iktibar daripada keadaan pandemik yang melanda negara membuatkan aktiviti seni dibekukan. Penggiat seni berhadapan dengan situasi sukar dan terpaksa ikat perut kerana tidak mempunyai pendapatan mahupun simpanan. Isu caruman KWSP dan PERKESO untuk penggiat seni menjadi antara perkara yang giat dibahaskan.

Terdahulu, beberapa persatuan sudah mula memperjuangkan isu ini bahkan tidak hanya terhad kepada penyanyi dan pelakon tetapi melibatkan kru produksi seperti jurusolek, pemandu dan penata gaya. Namun setakat hari ini, tiada apa-apa kata putus berjaya disepakati mengenai isu ini.

– Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )