Pasukan Starlight II selamat tiba di tanah air Bernama

Pasukan Starlight II selamat tiba di tanah air Bernama

SEPANG,. Seramai 110 pegawai dan anggota Tim Misi Operasi Starlight II yang bertugas selama enam minggu di Hospital Medan Malaysia (HMM) menghulur bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, selamat kembali ke tanah air semalam.

Kepulangan pasukan yang terdiri daripada pegawai perubatan, staf kesihatan, staf sokongan dan pakar perkhidmatan klinikal yang mula ditugaskan secara berperingkat sejak pertengahan Februari lepas itu disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

HMM mula diaktifkan pada 9 Feb lepas dan terletak di Celikhan, Aditaman iaitu kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep, kawasan paling terjejas akibat gempa bumi Turkiye. Penugasan HMM tamat pada 23 Mac.

Affendi pada sidang media selepas sambutan kepulangan pasukan tersebut berkata sepanjang tempoh operasi, HMM telah merawat seramai 2,415 pesakit termasuk 83 kes pembedahan manakala 159 pesakit pula diberikan rawatan melalui pendekatan “Forward Medical Team” (FMT).

“Pendekatan FMT adalah dengan mengatur gerak petugas kesihatan HMM ke rumah penduduk di sekitar Celikhan dan memeriksan warga tua yang lemah untuk disaring serta dibawa ke HMM bagi rawatan lanjut sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Malaysia telah memberikan sejumlah peralatan dan kelengkapan HMM melibatkan 24 khemah, katil medan, dan ubat-ubatan sebagai sumbangan kepada Turkiye bagi membantu dan meneruskan proses pemulihan kesihatan di negara itu.

Ditanya sama ada aset ATM masih mencukupi bagi membina HMM lain susulan pemberian sumbangan tersebut, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai aset mencukupi dan lengkap.

“Kita memang ada simpanan (untuk HMM). Sebenarnya HMM ini boleh dibina dalam waktu yang singkat dengan urusan atur gerak anggota. Jika ada arahan daripada kerajaan bagi sebarang bantuan bencana dalam masa 48 jam, kita boleh gerakkan HMM,” katanya.

Agensi Anadolu sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 41,020 orang terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb lepas.

Sebelum ini menerusi Operasi Starlight I, HMM pernah dilaksanakan di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada 2017 bagi membantu pelarian Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri ke Bangladesh.

Anggota kesihatan Left Kol Dr Zuraini Sulaiman ketika menceritakan pengalamannya bertugas di HMM di Turkiye berkata cuaca sejuk, faktor logistik dan masalah komunikasi antara cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang bertugas.
Beliau yang merupakan pakar pediatrik berkata rawatan turut diberikan kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang mengalami masalah jangkitan paru-paru dan asma.

“Kawasan kami bertugas itu adalah di kawasan gunung-ganang dan berbatu, jadi susah juga bagi penduduk yang memerlukan rawatan datang ke HMM selain masalah jalan tutup, jadi kami terpaksa mencari alternatif lain untuk merawat mereka antaranya menerusi FMT,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)