Patologi penolakan Zionis

Patologi penolakan Zionis


Oleh Jason Loh

Dalam satu pertunjukan berpadu terhadap penjajahan dan penindasan Zionis, warga Palestin dari semua lapisan masyarakat melakukan mogok umum (Karameh – perkataan Arab untuk “martabat”) pada 18 Mei yang belum pernah dilihat sejak 1936 semasa zaman Mandat Palestin di bawah Britain ketika itu.

Mogok umum 1936 menyebabkan penubuhan Suruhanjaya Peel yang menetapkan idea pertama untuk pembelahan wilayah (partition). Baitulmuqaddis dan “zon tengah” Palestin akan berada di bawah pemerintahan antarabangsa (pada masa itu, Liga Bangsa-Bangsa) yang dipimpin Britain. Keseluruhan Tebing Barat dan Palestin selatan (termasuk Gaza) akan tertakluk di bawah pentadbiran Yahudi.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai penolakan Arab semenjak itu. Tetapi konteks akan memberikan kejelasan dan penghayatan mengenai pendirian (asal) Arab Palestin.

Menurut Shaul Bartal dalam “Laporan Suruhanjaya Peel tahun 1937 dan Asal-Usul Konsep Pembelahan” (Tinjauan Kajian Politik Yahudi, 2017), Jawatankuasa Tinggi Arab (AHC) menolaknya dan sebaliknya menuntut sepenuhnya sebuah negara Arab berdaulat untuk mencerminkan realiti demografi. Hujah yang memihak kepada sebuah Negara Palestin yang merdeka dan penolakan terhadap “tanahair nasional” Yahudi (sebagaimana menurut Pengisytiharan Balfour) dikemukakan dalam buku, Mandat Palestin, Tidak Sah dan Tidak Praktikal: Sumbangan Hujah dan Dokumen untuk Penyelesaian Masalah Palestin (1936) oleh WF Boustany (anggota Rombongan Arab Palestin Ketiga ke London pada tahun 1923).

Ringkasnya, Yahudi yang berhijrah ke Palestin di bawah panji Zionisme adalah pendatang asing – tidak seperti Yahudi minoriti yang kekal di tanah itu yang dapat menuntut keturunan mereka tanpa putus.

Lagi pun, asal-usul Yahudi (iaitu dari segi etnik sahaja) peneroka imigran dapat dipertikaikan atas isu genetik seperti ditonjolkan dalam, Penciptaan Orang Yahudi (2009) oleh sejarawan Israel, Prof Shlomo Sands. Buku Prof Sand yang lain, Penciptaan Negara Israel (2012) menunjukkan dengan meyakinkan bahawa Tanah Israel (Eretz Yisrael) bukan, dari sudut sejarah dan geografi, sama dengan Negara Israel (Medinat Yisrael).

Pendek kata, demografi Palestin bukan sahaja mulai berubah semasa zaman Kristianisasi Empayar Rom, Arabisasi – Kristian (lihat Doron Bar “Pengkristianan Desa Palestin pada Zaman Antikuiti Akhir”, 2003 seperti diterbitkan dalam Jurnal Sejarah Kegerejaan) dan Muslim – mengubah landskap sosial.

Sudah tentu, Palestin yang berada di persimpangan jalan kebanyakkan tamadun kuno dan titian antara budaya, wilayah dan benua telah memeluk gelombang demi gelombang migrasi dari semua arah.
Hakikatnya adalah bahawa penerimaan Palestin terhadap penyelesaian dua negara berdasarkan Perjanjian Gencatan Senjata 1949 (atau juga dikenali sebagai Garis Sempadan Pra-1967/Garis Sempadan Hijau) yang dibalas dengan penempatan di Tebing Barat dan aneksasi yang diancam Netanyahu hanya menunjukkan penolakan Zionis.

Baru-baru ini sahaja, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, dipetik oleh The Star telah menyatakan bahawa, “[Kedua-dua pihak] harus kembali ke meja rundingan mengenai penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan sebelum perang 1967”.

Kononnya pula, selama ini yang menolak penyelesaian dan kedamaian adalah dari pihak Arab.

Penolakan Zionis juga dilihat dalam pengeboman strategik dari masa ke masa ke atas Gaza – dengan tujuan menghancurkan infrastruktur sehingga dapat melemahkan niat dan iltizam rakyat Gaza untuk menentang (sebagai tindakan hukuman).

Selepas gencatan senjata terbaru berikutan satu lagi babak jenayah perang, adalah menjadi tanggungjawab penyerang mengambil langkah bagi mengakhiri kitaran pembunuhan dasyat dan kemusnahan unutk selamanya serta berusaha menuju ke arah penyelesaian dua negara.

Serentak dengan itu, rejim Tel Aviv harus menarik diri dari Tebing Barat secara keseluruhan.

Atau pun sekurang-kurangnya meninggalkan penempatan lain di bawah pentadbiran Palestin. Rancangan ini bermakna bahawa penempatan yang ketinggalan (yang tidak dimansuhkan), terutama yang lebih mapan dan canggih seperti bandar atau kota mandiri, akan ditetapkan sebagai zon khas. Kawasan-kawasan ini akan berada di bawah bidang kuasa Negara Palestin (Dawlat Filastin). Oleh itu, peneroka yang tinggal di sana akan menjadi “tetamu” dan tertakluk kepada undang-undang tanah dan cukai taksiran khas, selain cukai biasa (penilaian hartanah, pendapatan, korporat).

Jika Israel berkeras menjajah Tebing Barat, ini bermungkinan akan membawa kepada konflik wilayah baru – di mana dinamiknya berbeza dari perang Arab-Israel yang lalu.

Rumusannya, penolakan Zionis tidak boleh dilihat sebagai berpunca dari kemenangan Zionis setakat ini.

Mana tahu, permulaan bagi berakhirnya mitos kemenangan dan kekuatan Zionis mungkin sudah berlaku sekarang.

(Jason Loh Seong Wei merupakan Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas berfokuskan saranan-saranan dasar strategik berdasarkan kajian yang menyeluruh.)

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )