PBB, AU beri amaran Sudan dalam ‘bahaya besar’

PBB, AU beri amaran Sudan dalam ‘bahaya besar’

KHARTOUM: Dua penunjuk perasaan ditembak mati semasa protes di Sudan kelmarin, ketika pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika (AU) memberi amaran bahawa negara itu dalam “bahaya besar”.

Ratusan orang telah berkumpul di jalan raya sekitar Khartoum dan bandar berkembarnya Omdurman, menurut beberapa saksi.

Pasukan keselamatan menembak mati seorang penunjuk perasaan di Omdurman dan seorang lagi di Khartoum, kata doktor.

Sekurang-kurangnya 87 orang maut dan ratusan lagi tercedera ketika bantahan selama lebih empat bulan menuntut pemerintahan awam dan keadilan untuk mereka yang terkorban dalam tunjuk perasaan sebelum ini, menurut pegawai perubatan.

“Semua penunjuk yang ada bagi kami di PBB dan AU menunjukkan bahawa negara itu berada dalam keadaan sangat berbahaya,” kata wakil AU, Mohamed Lebatt pada sidang akhbar di Khartoum bersama dengan wakil khas PBB Volker Perthes.

“Kami berasa sangat bimbang mengenai keadaan negara itu,” katanya, menggesa untuk penerusan peralihan kepada pemerintahan awam sepenuhnya.

AU telah menolak keahlian Sudan sejak ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan mengetuai rampasan kuasa pada Oktober lepas.

Pengambilalihan oleh tentera telah menggugat peralihan yang rumit dibincangkan antara pemimpin awam dan tentera berikutan penggulingan diktator Omar al-Bashir pada April 2019 selepas bantahan jalanan besar-besaran.

Ia telah mencetuskan kecaman antarabangsa dan protes antirampasan kuasa besar-besaran yang kerap.

Ratusan figura politik dan aktivis prodemokrasi telah berkumpul dalam tindakan yang semakin meluas.

Kelmarin, Lebatt menggesa kumpulan awam utama di Sudan untuk menyelesaikan perbezaan mereka dan mencapai sepersetujuan.

“Sekiranya mereka terus berpecah, mereka akan meletakkan masa depan negara di tangan institusi tentera,” katanya.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)