
PBB Pindahkan Kakitangan Dari Goma Susulan Peningkatan Pertempuran di Timur Congo
26/01/2025 18:30 MYT, / JOHANNESBURG: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengumumkan pemindahan sementara kakitangan yang tidak terlibat dalam operasi penting dari Goma, timur Congo, berikutan peningkatan ketegangan keselamatan di wilayah Kivu Utara, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut PBB, keputusan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan kakitangan, sementara operasi utama di kawasan tersebut terus berjalan tanpa gangguan.
Kumpulan pemberontak M23 yang dikaitkan dengan sokongan Rwanda, baru-baru ini memperhebatkan serangan mereka di timur Congo, menawan beberapa bandar utama dan dilaporkan bergerak menuju Goma, ibu kota Kivu Utara.
Presiden Rwanda, Paul Kagame, bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut yang mengaitkan negara mereka dengan pemberontak berkenaan.
Pada hari Jumaat, pihak berkuasa Congo mengesahkan kematian Gabenor Tentera Kivu Utara, Mej Jen Peter Cirimwami, yang terkorban akibat kecederaan yang dialaminya semasa bertempur di barisan hadapan.
M23 mendakwa mereka berjuang untuk mempertahankan hak-hak komuniti Tutsi Congo, yang didakwa mengalami penindasan di Congo kerana hubungan etnik mereka dengan komuniti Tutsi Rwanda.
Walaupun beberapa kakitangan dipindahkan, PBB memastikan bahawa kakitangan penting tetap berada di Goma untuk menyelenggarakan operasi kritikal, termasuk pembahagian bantuan makanan, rawatan perubatan, penyediaan tempat perlindungan serta perlindungan kepada komuniti terdedah.
Pertempuran yang meningkat di timur Congo telah menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri dari kediaman mereka sejak akhir tahun lalu.
Pada minggu ini, enam anggota tentera dari dua negara Afrika yang menyertai misi pengaman di Congo terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pemberontak M23.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Malawi (MDF), Mej Emmanuel Mlelemba, mengesahkan bahawa tiga anggota tentera Malawi maut dalam serangan hendap oleh M23 pada Jumaat.
Dalam kejadian lain, “South African National Defence Union” mengesahkan bahawa tiga anggota tenteranya terbunuh, dengan 14 lagi cedera dalam pertempuran dengan M23. Insiden tersebut berlaku semasa Menteri Pertahanan Afrika Selatan, Angie Motshekga, berada di Congo.